Wawacara dengan bakal Perdana Menteri Malaysia Ke 5

 

Muqadimah Barisan Alternatif yang terdiri dari PAS, KeAdilan, DAP dan PRM telah sebulat suara memilih bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai bakal Perdana Menteri jika mereka berjaya mendapat mandat rakyat untuk memerintah negara ini.  Berikut adalah hasil temubual yang dibuat khas oleh Harakah dengan beliau sebaik sahaja Parlimen dibubarkan. 

Harakah: Menjelang pilihan raya nanti, apakah yang seharus menjadi tumpuan BA? 

Anwar: Barisan Alternatif harus memfokus ke arah penyebaran maklumat kepada rakyat di samping memperkukuh jentera pilihan raya dan hari mengundi, kita perlu teruskan ofensif mendedahkan kecurangan dan kemungkaran BN serta menonjolkan rancangan BA sepertimana yang tertera dalam Manifesto Alternatif. Jangan sekali kita terjebak dengan taktik pecah dan perintah, iaitu helah musuh selama ini yang mereka warisi dari penjajah. Kita perlu memenangi hati rakyat melalui hikmah dan pendekatan sederhana. 

Harakah: Apakah kerjasama BA benar-benar kukuh? 

Anwar: Muafakat di antara parti-parti alternatif positif sekali sehingga jelas mengecewa dan menakutkan Dato' Seri Dr. Mahathir dan pimpinan BN. Yang amat digeruni mereka ialah BA yang bersatu dan berwibawa. Kita saksikan sahaja gelagat mereka memperalatkan media mereka, memperbodoh rakyat dengan mumutarbelitkan kenyataan serta cuba melaga-lagakan pimpinan BA. Saya jangkakan serang hendap, penipuan dan fitnah akan lebih kasar lagi. Itu sekadar helah mereka bagi mengaleh pandangan rakyat dari membicarakan soal kezaliman, rasuah dan tamak haloba mereka. Kita harus akui bahawa belum pernah wujud persafahaman alternatif semantap dan sehebat sekarang. 

Harakah: Apa lagi taktik BN seterusnya dalam keadaan terdesak sekarang? 

Anwar: Taktik BN ialah menyemai budaya takut (culture of fear) di kalangan rakyat; menuduh tenaga reformasi mencetus rusuhan dan PAS dan DAP masing-masing extremis dan pelampau. Namun rakyat lebih sedar dan matang. Perkembangan di rantau termasuk Indonesia lebih memberangsangkan. Pengalaman pentadbiran PAS di Kelantan di bawah pimpinan Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz membuktikan amalan bersih, toleran dan sederhana. Sementara itu DAP telah menyatakan pendirian tegas mengenai bahasa, ekonomi dan agama dengan jaminan keadilan buat semua, sepertimana yang terdapat dalam Manifesto Alternatif. Yang juga pasti ialah kesediaan BN menyogok wang, mencurah sebanyak mungkin habuan dari hasil yang terkumpul dari sumber rasuah dan judi sepertimana yang telah saya dedah bersekali dengan surat dan dokumen. 

Harakah: Bagaimana reaksi saudara mengenai pencalonan saudara selaku bakal PM BA? 

Anwar: Saya bersyukur kehadrat Allah SWT kerana keyakinan tersebut. Tetapi, saya harus ulangi bahawa corak kepimpinan BA adalah secara berpasukan; tidak ala-diktator yang diamalkan sekarang, sehingga membiarkan Perdana Menteri bermahara lela, tidak ada pimpinan BN yang berani menegur atau melarang. Keduanya, ia melambangkan keikhlasan PAS sebagai parti kanan dan berpengaruh untuk menjalin kerjasama yang bererti. Saya terharu lebih-lebih lagi kerana saya akui kewibawaan dan kelayakan Kekanda Dato' Ustaz Fadzil Noor. Pasukan kepimpinan BA kental dengan tokoh-tokoh matang dan berpengalaman seperti YB Lim Kit Siang dan Dr. Syed Husin Ali dan barisan kepimpinan yang bersih dan berkelayakan berbanding BN. Pimpinan BA lebih menonjol dari segi keikhlasan, kukuh pegangan agama dan berpaut teguh kepada prinsip keadilan. 

Harakah: Apakah seruan khas saudara kepada pengundi menjelang pilihan raya? 

Anwar: Mari kita gunakan kesempatan terbaik dalam pilihan raya buat menumpas kerajaan BN - lambang keangkuhan kuasa sehingga merebaknya rasuah serta sanggup mempersenda hukum agama dan ulama. Seluruh rakyat, pegawai kerajaan dan pendidik, anggota pasukan keselamatan, pihak swasta, pekerja, petani dan nelayan perlu bangun mengambil peluang ini untuk melakukan perubahan secara aman dan bijaksana. Pastikan masa depan yang adil dan bahagia buat anak-anak kita. Kami perlukan pengertian dan dukungan saudara-saudara. Berilah sokongan padu kepada semua calon alternatif - PAS, KeADILan, DAP dan PRM.