Pemindahan  Anwar

Suatu Penyeksaan Kejam

 

Arahan untuk memindahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada mendapat rawatan perubatan di Hospital Besar Kuala Lumpur balik ke penjara Sungai Buluh beberapa merupakan suatu penyeksaan kejam terhadap beliau. Walaupun Anwar berada dalam tahanan tetapi sebagai seorang pesakit, beliau mempunyai hak untuk membuat pemilihan tentang jenis dan kaedah rawatan yang terbaik untuknya.

 

Keadaan penyakit tulang belakang Anwar dilaporkan serius oleh panel doktor dan beliau memerlukan suatu pembedahan di tulang belakangnya. Oleh kerana itu kenapa Anwar hendak dihantar balik ke Sungai Buluh sebelum dia dibedah terlebih dahulu? Anwar telah dimasukkan ke hospital sejak 25 November 2000 lalu tetapi keadaan penyakitnya masih tidak berubah. Oleh itu tindakan memindahkannya balik ke Sg. Buluh akan memburukkan lagi penyakitnya.

 

Adalah amat dikesali dengan sikap kerajaan yang enggan memberi kebenaran kepada pihak keluarga Anwar  membawa seorang pakar di bidang endoscopic microsurgery ( suatu teknik pembedahan terbaru ) dari Jerman untuk memeriksa Anwar dan melakukan pembedahannya. Sepatutnya permintaan ini telah lama dibenarkan memandangkan pada waktu ini hospital kita di Malaysia  tidak mempunyai kepakaran dalam kaedah tersebut.

 

Ada laporan yang menyatakan Setiausaha Politik dan Pegawai Khas Menteri Dalam Negeri mengarahkan pihak penjara menyediakan bilik yang lebil kecil. Bilik yang akan dijadikan tempat rawatan Anwar di penjara Sg. Buluh tidak cukup kemudahannya. Jika demikian, pemindahan Anwar ke tempat tersebut suatu penganiayaan, tindakan tidak berperikemanusiaan dan bertentangan sama sekali dengan hak asasi manusia.

 

Kerajaan seharusnya membatalkan rancangan pemindahan ini dan menghormati hak Anwar sebagai seorang pesakit dan begitu juga hak keluarganya untuk mendapatkan rawatan terbaik untuk Anwar.