Pandangan (Fatwa) Syariah Terhadap

 

 

HUKUMAN BERSALAH

 

DATO' SERI ANWAR IBRAHIM

Dr Shaikh Taha Jabir Al-Awani


Pandangan ini adalah berhubung dengan perbicaraan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Hakim Arifin Jaka. Hakim tersebut telah mendapati tertuduh Dato' Seri Anwar Ibrahim bersalah seperti didakwa dan telah menjatuhkan hukuman sembilan tahun penjara.  Pandangan ini berdasarkan kepada laporan-laporan media dunia yang mengikuti prosiding tersebut setiap hari perbicaraan berjalan.

Bagaimanakah Syariah melihat kesahihan dan keadilan perbicaraan serta hukuman yang dijatuhkan?

1.  Syariah memperakui bahawa tertuduh dalam keadaan lemah memandangkan beliau dihadapkan ke muka pengadilan dan berada di pihak yang didakwa.  Beliau berhadapan dengan penganiayaan dan hak asasi beliau dicerobohi.  Prinsip utama Syariah ialah menegakkan Keadilan.

Atas alasan ini maka kita dapati Rasulullah s.a.w. dan para Khulafaa al-Rashiduun menggariskan panduan kepada para hakim yang dilantik, dengan mengingatkan mereka supaya peka dan prihatin terhadap hak-hak asasi tertuduh.

Setelah meneliti keseluruhan perbicaraan daripada kacamata Syariah, seseorang boleh mencatatkan berjilid-jilid perlanggaran hak-hak asasi "tertuduh".  Kami akan menghadkannya pada beberapa persoalan sahaja.

2.  Tuduhan yang didakwa iaitu salahlaku liwat adalah satu jenayah maruah dan akhlaq, seperti zina, yang memerlukan empat (4) orang saksi yang boleh dipercayai yang telah melihat salahlaku tersebut secara sah, tanpa sebarang halangan atau gangguan.  Sekiranya terdapat sebarang keraguan dalam keterangan yang diberi, maka keseluruhan kes hendaklah dibuang dan para saksi atau pendakwa adalah bersalah kerana memburuk-burukkan dan memfitnah.

3.  Syariah juga mengambilkira kes di mana seorang awam biasa menuduh seorang yang mempunyai kedudukan. Syariah memperakui bahawa kemungkinan terdapat kelemahan manusia seperti perasaan tamak, cemburu hasad dengki dan mempunyai motif tidak jujur.  Islam menuntut bukti yang melampaui batas keperibadian daripada pihak yang didakwa sebagai "mangsa".  Jika terdapat sebarang keraguan dalam keterangan yang diberi, kes tersebut hendaklah dibuang dan pihak "penuduh" hendaklah dihukum.  Ini merupakan satu bentuk perlindungan yang berkesan dan adil terhadap masyarakat.

4.  Menafikan hak tertuduh untuk memanggil saksi utama kes dalam kedudukan saksi sebagai Perdana Menteri. Saksi ini mempunyai bukti kukuh kerana:

i) Beliau, pada awalnya, telah mengisytiharkan bahawa tertuduh tidak bersalah.

ii) Kemudian, beliau beriya-iya dan berulangkali mengumumkan kepada umum bahawa beliau yakin tertuduh bersalah.

iii) Beliau, selaku Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri pada waktu tersebut berkuasa untuk mendapatkan laporan-laporan polis dan perisikan, memandangkan beliau bertindak sebagai pemimpin tertinggi mereka.

iv)  Beliau telah bertemu secara peribadi dengan pihak yang didakwa sebagai mangsa dan saksi utama pendakwa, Azizan bersama saksi utama dalam perbicaraan awal iaitu Ummi Hafilda.

v) Beliau merupakan ketua langsung kepada tertuduh dan pemimpinnya selama 17 tahun.  Beliau merupakan "saksi perwatakan" memandangkan kes tersebut melibatkan watak dan akhlaq peribadi.

vi) Al-Quran menegaskan bahawa saksi tidak boleh menyembunyikan persaksiannya apabila diminta. Penafian persaksian merupakan halangan kepada proses keadilan dan merupakan dosa besar dalam Islam.

5.  Tertuduh dinafikan permohonan, dari segi perundangan, untuk membolehkan "mangsa" dan saksi utama pendakwa diperiksa dari segi perubatan terhadap tanda-tanda diliwat.  Bukti perubatan boleh dijadikan bukti kukuh dalam kes-kes seumpama ini.  Bukti ini menjadi lebih penting apabila tertuduh lain, Sukma, tidak mengalami tanda-tanda diliwat.  Bukti ini menyokong dakwaannya bahawa perakuan awalnya dibuat secara paksaan.  Ini menunjukkan bagaimana pihak pendakwa meminda pendakwaan mereka dan menjadikan Sukma sebagai tertuduh kedua yang meliwat Azizan dan tidak diliwat oleh tertuduh, Dato' Seri Anwar Ibrahim.

6.  Tidak khusus dalam penetapan tarikh pertuduhan berlakunya jenayah.  Saksi utama pendakwa yang juga "mangsa" menyebut satu tarikh yang tidak dapat dibuktikan dalam alibi.  Beliau sering menukarkan tarikh berdasarkan tahun dan bulan.  Dalam mana-mana mahkamah Syariah dan sivil yang adil, ini sudah cukup untuk menutup kes dan mengenakan hukuman terhadap saksi dan "mangsa" kerana kesalahan memfitnah ("Qathf"). Adalah dikesali kerana mahkamah telah menerima satu tempuh selama beberapa bulan dan menafikan hak tertuduh bagi menentukan tarikh yang tepat.

7.  Mempengaruhi saksi: Adalah jelas dalam perbicaraan bahawa Azizan telah mengaku beliau diajar oleh polis dan pendakwa dalam meminda tarikh-tarikh tersebut.  Tidak ada mana-mana mahkamah Syariah atau sivil yang memperakui saksi ini sebagai "boleh dipercayai".

8.  Ugutan terhadap Peguambela: Semasa perbicaraan, hakim kerap mengancam pihak peguambela dengan ancaman "menghina mahkamah" sehingga dalam satu masa, beliau telah menjatuhkan hukuman kononnya telah menghina mahkamah kepada salah seorang peguambela.  Pemerhati antarabangsa bersetuju bahawa peguambela tersebut telah menjalankan tugasnya mengikut profesionnya.  Syariah berpendapat sebarang ugutan terhadap seseorang peguambela adalah merupakan ugutan terhadap pihak tertuduh itu sendiri.

9.  "Penuduh" dan saksi utama (Azizan) menurut hukum Syariah tidak layak menjadi saksi selama-lamanya.  Beliau pernah didapati bersalah kerana "berzina".  Al-Quran telah menyatakan secara khusus dan jelas dalam hal ini.

Berdasarkan kepada perkiraan-perkiraan Syariah di atas, perbicaraan dan keputusan perbicaraan tersebut merupakan keputusan yang memalukan Sistem Malaysia dan keadilan.  Ia telah memusnahkan nama baik Malaysia.  Hakim sepatutnya menegakkan nilai-nilai keadilan dan Syariah serta etika profesionnya dengan membuang kes tersebut.  Hakim seperti beliau menjadi sasaran peringatan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadith baginda iaitu; dua daripada tiga hakim yang masuk Neraka.

Sebagai rumusan, menurut pandangan Islam, hukuman yang dikenakan terhadap Dato' Seri Anwar Ibrahim dengan mendakwa beliau melakukan salahlaku liwat adalah tidak sah. Bukti kukuh Syariah ialah dalam pendakwaan dan pertuduhan dan mereka gagal membuktikan salahlaku tersebut tanpa keraguan yang munasabah.  Pengadilan sebagaimana yang telah ditunjukkan adalah satu perlanggaran terhadap keadilan dan hukum Syariah dalam bentuk dan perlaksanaannya.  Ia adalah pencerobohan yang jelas terhadap hak-hak asasi manusia pihak tertuduh.

Dato' Seri Anwar Ibrahim patut diisytiharkan tidak bersalah.  Beliau patut dibebaskan serta-merta dan para penuduh beliau dibicarakan kerana memfitnah.

 Wabillahit-taufiq wal-hidayah.

 

Dr Shaikh Taha Jabir Al-Awani

Pengerusi, Majlis Fiqh Amerika dan Kanada

Ahli, Majlis Fiqh Antarabangsa, Jeddah

Ahli, Majlis Fiqh Eropah

Anggota Pengasas, Liga Islam Sedunia, Makkah

Presiden, Graduate School of Islamic and Social Sciences

Professor, Kerusi Imam Al-Shafii, GSISS

terjemahan Jundullah Reformasi