KABINET BARU

 KABINET KORUP DAN BANGKRUP

KENYATAAN MEDIA (11 DISEMBER 1999)

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) tidak meyakini kemampuan dan keberkesanan anggota kabinet baru yang diumumkan oleh Perdana Menteri di Putra Jaya kelmarin untuk membangunkan rakyat negara ini secara komprehensif. Tindakan Perdana Menteri mengekalkan beberapa pemimpin yang dipersoal kerana menjadi penjenayah sebagai menteri adalah seperti menggadai masa depan rakyat. DPP Pusat melihat kabinet ini sebagai kabinet yang langsung tidak meyakinkan.

Beberapa menteri kanan termasuk Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin; Menteri Perindustrian dan Perdagangan Antarabangsa, Datuk Seri Rafidah Aziz; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Razak; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Samy Vellu; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Ling Liong Sik; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdul Hamid Othman dan Datuk Rais Yatim; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Hishammudin Hussein; Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Aziz Shamsuddin dan sebagainya adalah antara menteri yang pernah dipersoal kerana melakukan pelbagai skandal penyalahgunaan kuasa, rasuah, seks, masalah moral dan konspirasi politik. Pemilihan pemimpin bekas Semangat 46 yang tidak mempunyai moral politik yang dahulunya mengutuk dan mencerca BN sebagai menteri dan timbalan menteri juga menggambarkan kabinet baru amat tidak meyakinkan rakyat.

Sebelum pilihanraya umum yang lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mendedahkan penyelewengan dan salah guna kuasa beberapa pemimpin BN seperti Tun Daim, Datuk Seri Rafidah dan Dr. Mahathir sendiri, tetapi langsung tidak dijadikan pertimbangan dalam pembentukan kabinet pada kali ini. Dokumen-dokumen sahih telah dikemukakan sebagai bukti bahawa pemimpin utama BN telah menjadi penjenayah, dan kali mereka diberi peluang sekali lagi untuk menjahanamkan masa depan rakyat negara ini.

Menteri-menteri yang mempunyai track record yang buruk bukan sahaja tidak sewajarnya dikekalkan sebagai menteri, bahkan BN sepatutnya tidak mencalonkan mereka sebagai calon dalam pilihanraya jika benar mereka ingin membela nasib rakyat. DPP Pusat membimbangi kemenangan 2/3 BN baru-baru ini dan perlantikan semula kumpulan penjenayah ini sebagai menteri akan mendorong mereka untuk terus bertindak rakus terhadap rakyat. Jika pada sesi 1995/1999 mereka telah melakukan pelbagai penyelewengan sehingga mencetuskan kegawatan ekonomi, politik dan sosial yang hasyat, maka sudah tentu perlantikan ini akan sekali lagi menggadai keadilan, keamanan dan kesejahteraan rakyat pada masa akan datang.

DPP Pusat juga melihat tindakan Perdana Menteri melantik para penjenayah ini sebagai menteri adalah bertujuan untuk menyokong Dr. Mahathir setelah BN secara jelas ditolak oleh rakyat secara undi popular. Dr. Mahathir juga turut melantik beberapa pemimpin BN yang terkenal sebagai pengampu untuk menduduki kerusi kabinet persekutuan yang jelas menunjukkan betapa budaya kroni dan ampu telah menjadi teras kepada politik BN.

DPP Pusat mengajak seluruh rakyat agar terus menyatakan penentangan terbuka kepada BN yang ternyata telah membelakangi kepentingan rakyat dalam pembentukan kabinet baru ini. Rakyat mesti mempunyai tekad dan azam yang kuat untuk mempastikan BN tidak lagi memerintah negara ini pada masa akan datang dan berusaha keras untuk mempastikan kuasa BN dapat ditamatkan.
 
 

HAJI MAHFUZ HAJI OMAR

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat