BERSAMA BARISAN ALTERNATIF - MENENGTANG KEZALIMAN, KRONISMA DAN NEPOTISMA
Kandungan PETIKAN  Berita Terkini

Isu No. 1 – 26 Julai 1999

Isu No. 2 - 27 Julai 1999 

Isu No. 3 – 28 Julai 1999

Isu No. 4 – 29 Julai 1999 

TUTUP BANK - DAIM   

MAHATHIR PERCAYA KONSPIRASI

GANI PATAIL SAHTERLIBAT

PEMANDU TEKSI DIUGUT

JALAN SWASTA LEBIH MAHAL

TNB AKAN NAIKKAN TARIF

HOSPITAL AKAN DISWASTAKAN

PEMIMPIN DAN GRADUAN 

BN DESAK MANSUH ISA

HARGA SAHAM

YANG BURUK, YANG BAIK

PERWAJA: SIASATAN TERBUKA

BUKAN GAYA KAPITAN

KES SUKMA

JAKIM TEKAN KHATIB

FADHIL NOOR NAFI

PELAJAR LUAR NEGARA

SATU LAMBANG

CARA-CARA BERSUMPAH

UMNO TIDAK SETUJU

KES RAFIDAH

HARAKAH DITEKAN LAGI

MAHATHIR SOROK MAHLIGAI

BN PINGGIRKAN 

SKANDAL PERWAJA
 

 

PETIKAN BERITA


 
 Isu No. 1 – 26 Julai 1999

LEBIH BAIK TUTUP BANK -- DAIM
Menteri Kewangan, Daim Zainuddin, berasa kecewa kerana bank-bank asing memberikan lebih banyak pinjaman daripada bank-bank tempatan. Walaupun kerajaan sudah cuba menubuhkan beberapa tabung wang untuk menolong bank-bank tempatan, tetapi mereka masih tidak yakin memberikan pinjaman.

“Lebih baik tutup sahaja bank-bank ini,” kata Daim dengan nada sinisnya. Beliau juga mengakui bahawa bank-bank di Negeri Thai dan Korea, dua buah negara yang lebih teruk dilanda kegawatan ekonomi dan terpaksa menerima syarat berat IMF, lebih banyak memberikan pinjaman berbanding bank-bank tempatan di negara ini.
 

MAHATHIR PERCAYA KONSPIRASI
Walaupun cuba menafikan wujudnya “konspirasi peringkat tertinggi” untuk memecat timbalannya yang lalu, Dr Mahathir sebenarnya yakin pada teori konspirasi. Dalam buku terbarunya, A New Deal for Asia, Mahathir menyalahkan spekulator asing “berpakat secara beramai-ramai dan sulit” untuk melemahkan ekonomi negara-negara Asia. Tetapi dalam bahagian lain buku itu, yang dikarang oleh Tan Sri Noordin Sopiee, dia menafikan teori konspirasi antarabangsa pula.  Agaknya, dua tukang tulisnya tidak sehaluan, akhirnya menelanjangkan bos mereka walaupun tak sengaja.

Tetapi pemerhati politik negara ini meragui penjelasan buku itu. Sebaliknya, penjelasan tersebut dilihat sebagai usaha Mahathir untuk membersihkan dirinya daripada kesilapan mengurus ekonomi negara. Malah, beliau dipercayai mengamalkan kronisme, nepotisme dan rasuah dalam mentadbir ekonomi negara.
KE ATAS
 

GANI PATAIL SAH TERLIBAT
Dokumen asal dari Jabatan Peguam Negara - yang ditandatangani oleh Datuk Abdul Gani Patail - agar Menteri Industri dan Perdagangan Antarabangsa, Rafidah Aziz, didakwa kerana salah guna kuasa sudah dikeluarkan. Sebuah laman web, Laman Reformasi, menyiarkan teks penuh yang disalin semula dari teks asal yang mengandungi fakta-fakta lengkap kes tersebut. Penerbitan rekod pendakwaan ini dipercayai ekoran laporan polis oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah dan Datuk Gani Patail telah melanggar proses undang-undang yang berpatutan dengan melakukan pendakwaan terpilih (selective prosecution).
KE ATAS
 

PEMANDU TEKSI DIUGUT
Pemandu teksi akan kehilangan lesen dan permit memandu jika memainkan kaset-kaset ceramah pembangkang di dalam teksi mereka, ugut Menteri Pembangunan Usahawan, Mustafa Mohd.  Tindakan yang sama juga akan diambil jika mereka mengkritik kerajaan ketika berbual-bual dengan penumpang. Amboi? Berbual-bual pun boleh diambil tindakan? Nampaknya, selepas kakitangan awam, siswa dan guru diugut “jangan mengkritik kerajaan”, kini pemandu teksi pula diugut oleh pemimpin BN agar tidak berbincang hal-hal politik. Jelaslah kini, kerajaan semakin takut kepada rakyat yang sedar penyelewengan-penyelewengan mereka.
KE ATAS
 

JALAN SWASTA JAUH LEBIH MAHAL!
Penswastaan jalan raya, seperti PLUS, telah menaikkan kos pembinaan jalanraya. Menurut sumber kerajaan sendiri, Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ketujuh, kos jalan yang diswastakan lebih MAHAL sebanyak RM14 juta setiap satu kilometer berbanding jalan raya yang disiapkan oleh pihak kerajaan. Kos jalan yang dibina kerajaan hanyalah RM11 juta setiap satu kilometer berbanding kos jalan yang dibina pihak swasta sebanyak RM25 juta setiap kilometer, iaitu 127% lebih mahal! Kononnya sektor swasta lebih cekap! Puncanya: kerajaan suka memberikan projek-projek penswastaan kepada syarikat-syarikat kroni. Janji kerajaan bahawa penswastaan akan menguntungkan rakyat hanya janji kosong semata-mata.
KE ATAS
 

TNB AKAN NAIKKAN HARGA API
Tenaga Nasional Bhd (TNB) akan menaikkan harga tarif tenaga elektrik kononnya jika gagal mengawal pencurian tenaga. Pengerusi Eksekutif TNB menjelaskan bahawa syarikat itu kerugian 9 peratus setiap tahun akibat pencurian itu. Sebenarnya, bekas pengerusi TNB pernah mengakui bahawa kontrak dengan pengeluar tenaga bebas (IPP) yang menyebabkan TNB mula rugi.  IPP itu banyak terdiri daripada kroni besar seperti Francis Yeoh, Genting, Malakoff (MRCB), dll., sedangkan kontrak dengan IPP menyebabkan harga beli TNB terlalu mahal, sedangkan harga jual kepada parapengguna sudah ditetapkan kerajaan.

Kenapa pula kita semua harus membayar kepada TNB kerana mereka gagal mengesan pencurian? Apakah salah rakyat sebagai pengguna elektrik? Apakah itu bermakna TNB dan kerajaan menggalakkan orang ramai mencuri elektrik? Sepatutnya, TNB berusaha memperbaiki pengurusan dan meningkatkan kecekapan, dengan kerjasama polis, untuk mengesan pencurian dan menahan pencuri elektrik, bukannya merompak wang rakyat dengan menaikkan kadar tarif api elektrik!
KE ATAS
 

HOSPITAL DIKORPORATKAN 
Sah! Hospital Dikorporatkan dan Diswastakan 1 Januari 2000 Pengkorporatan dan penswastaan hospital akan menjadi kenyataan pada 1 Januari 2000. Menurut sumber, satu mesyuarat pengarah-pengarah kesihatan negeri di Port Dickson pada April lalu telah membincangkan langkah pengkorporatan dan penswastaan tersebut. Sebelum ini, pihak kerajaan cuba menafikan desas-desus di kalangan masyarakat. Pengkorporatan dan penswastaan hospital akan meningkatkan kos perubatan dan rawatan, membebankan golongan miskin, dan menjadikan khidmat kesihatan yang baik hanya untuk golongan berada. Sedangkan kesihatan, pendidikan dan kediaman sepatutnya diberikan pembiayaan dan khidmat yang baik dari pihak kerajaan. Tetapi selalunya kerajaan BN suka menswastakan sebarang khidmat yang boleh menguntungkan syarikat-syarikat kroni mereka!
KE ATAS
 

PEMIMPIN DAN GRADUAN IPT DESAK HAPUSKAN KRONISME
Sekumpulan pemimpin dan aktivis pelajar sedang menjalankan kempen agar “kembalikan kuasa kepada rakyat”. Perkembangan politik kini semakin membimbangkan, jelas mereka dalam satu kenyataan. “Campur tangan pihak eksekutif dalam badan kehakiman, penyalahgunaan kuasa politik, ketidakadilan laporan media dan gejala rasuah” disebut sebagai isu-isu yang perlu diberikan perhatian oleh rakyat di negara ini. Dalam kenyataan yang sama, mereka merayu kepada para pengundi agar menolak parti-parti yang mengamalkan nepotisme dan kronisme serta politik perkauman dan menggunakan undang-undang untuk menyekat kebebasan rakyat.
KE ATAS
 

ANGGOTA BN DESAK ISA DIHAPUSKAN
Persidangan Perwakilan Nasional ke-28 Parti Gerakan hari ini, meluluskan usul meminta kerajaan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Gerakan, salah satu anggota BN, meminta kerajaan menyemak semula undang-undang berkaitan keselamatan negara supaya hasratnya ke arah pemansuhan itu dapat dilakukan. Usul berkenaan bersama usul-usul lain diluluskan tanpa sebarang perbahasan oleh 1,700 perwakilan dalam persidangan dua hari yang berakhir di sini hari Ahad.

Sebelum ini, beberapa Ahli Dewan Rakyat dari Umno juga memohon akta zalim yang diwarisi dari penjajah itu dihapuskan. Parti-parti pembangkang selama ini menyalahkan kerajaan kerana menyalah gunakankan ISA untuk menahan tanpa bicara pemimpin dan aktivis mereka, malah semua pihak yang tidak disenangi pihak berkuasa.
KE ATAS
 

HARGA SAHAM MENJUNAM
Dua minggu lepas, indeks Bursa Saham Kuala Lumpul (BSKL) masih lagi melebihi paras 850 mata. Tengah hari Isnin, ia menjunam ke paras 783 mata akibat kehilangan keyakinan. Keadaan ini sudah dirasai lewat minggu lepas lagi apabila BSKL ditutup dengan paras 808 mata.
KE ATAS
 

Isu No. 2 – 27 Julai 1999

YANG BURUK, SEMUA ANGKARA ASING, YANG BAIK, KERANA BN
Kejatuhan harga saham di BSKL disebabkan “faktor serantau”.  Pelabur-pelabur runcit kononnya “terpengaruh” dengan keadaan di negara-negara serantau dan “keyakinan pun merosot”, kata Utusan Malaysia.Tetapi sebaliknya, “kejayaan” negara dikatakan hasil “kepimpinan negara ini”, jelas Berita Harian pula, yang mengutip pandangan Jawatankuasa Bersama LID (Dialog Antarabangsa Langkawi).
Memang propaganda demikian sering menjadi alat kerajaan Barisan Nasional meracuni pemikiran orang ramai. Mereka tidak pernah mengaku, walaupun sedikit, walaupun sekejap, kelemahan diri mereka sendiri.KE ATAS
 

PERWAJA: PERLU SIASATAN TERBUKA -- ANWAR
Isu Perwaja timbul semula selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim, bekas Menteri Kewangan, melaporkan penyelewengan ini kepada polis. Semalam, Timbalan Speaker Dewan Rakyat menyatakan Perdana Menteri “tidak terlibat” dalam penyelewengan ini. Namun, dalam laporan polisnya, Anwar menyebutkan projek-projek Perwaja diluluskan dan ditandatangani oleh Perdana Menteri sendiri.Dalam sesi Dewan Rakyat, Lim Kit Siang memohon agar isu ini dibahaskan segera, tetapi tidak dibenarkan oleh Timbalan Speaker. Semalam, Anwar, melalui isterinya Dr Wan Azizah, juga Presiden KeADILan, mendesak siasatan terbuka terhadap penyelewengan di Perwaja. Perwaja mengalami kerugian RM1.9 bilion dan menanggung hutang sebanyak RM5.9 bilion. Pada tahun 1996 lagi, Anwar pernah cuba mendedahkan penyelewengan ini di Dewan Rakyat.
KE ATAS
 

BUKAN GAYA KAPITAN: TIAN CHUA
KeADILan akan memberikan tumpuan yang saksama kepada semua kaum, termasuk Cina. Tetapi tidak menggunakan kaedah pentadbiran “gaya Kapitan Cina zaman penjajah”, ujar Naib Presiden parti itu, Tian Chua dalam satu wawancara dengan sebuah akhbar berbahasa Cina, Nanyang Siang Pau, semalam. Dengan pentadbiran “gaya Kapitan”, tumpuan diberi oleh sesebuah parti kepada sesuatu kaum sahaja, seperti model Perikatan dan Barisan Nasional. Cara ini terbukti menajamkan semangat perkauman dan menguntungkan BN, tetapi merugikan rakyat dan negara. Malah, “gaya Kapitan” boleh membahayakan hubungan antara kaum, serta menimbulkan huru-hara.
KE ATAS
 

KES SUKMA: MAJISTRET BUAT SILAP
Kegagalan Majistret Abdul Karim Jalil menanyakan tujuan Sukma Darmawan Sasmitaat Madja membuat pengakuannya bahawa Sukma kononnya diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan satu kesilapan besar, dan oleh itu, keterangannya patut ditolak,  Mahkamah Tinggi di sini diberitahu hari ini. Peguambela Anwar, Karpal Singh berkata tiada keterangan dikemukakan oleh pihak pendakwa untuk menunjukkan majistret telah bertanyakan Sukma akan alasan beliau mahu membuat pengakuan. (Sumber: Bernama)
KE ATAS
 

JAKIM TEKAN KHATIB TEGUR KERAJAAN
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), yang diketuai oleh Dr Hamid Othman, sudah mengenal pasti khatib-khatib yang menegur kerajaan melalui khutbah. Dalam satu laporan akhbar minggu lalu, hampir semua masjid di Wilayah Persekutuan dan Selangor menegur kerajaan dalam khutbah-khutbah mereka. Malah, seorang mufti memberikan kenyataan kononnya “tidak boleh menegur kerajaan melalui khutbah”. Perkembangan ini membuktikan kerajaan menjadi kelam-kabut apabila rakyat bangkit menegur salah laku, skandal dan penyelewengan pemimpin-pemimpin kerajaan, yang dipercayai dari parti Umno. Perbuatan mengesan dan mungkin mengambil tindakan ke atas khatib-khatib ni bercanggah dengan Perlembagaan negara yang menjamin kebebasan bersuara dan kebebasan beragama. Tetapi kalau Umno hendak ambil tindakan, siapa boleh halang?
KE ATAS
 

FADHIL NOOR NAFI TUTUP MEDIA
Presiden PAS, Ustaz Dato’ Fadhil Noor menafikan laporan akhbar yang kononnya Barisan Alternatif akan menutup semua media jika mereka menang pilihan raya umum nanti. “Kenapa pula kita harus menutup media, kerajaan (yang dipimpin oleh Barisan Alternatif) juga memerlukan media,” jelas Fadhil lagi di satu ceramah umum semalam. Laporan akhbar, yang menyatakan beliau akan menutup media, merupakan satu lagi contoh putar-belit yang dilakukan oleh media pro-Umno dan BN.
KE ATAS
 

PELAJAR LUAR NEGARA TURUT DIAWASI
Selain pelajar di IPT tempatan dan kakitangan kerajaan, pelajar Malaysia di luar negara juga bersama orang ramai yang semakin tidak yakin kepada kerajaan sekarang. Pelajar luar negara dalam kenyataan-kenyataan mereka menganggap kerajaan BN yang ada kini sebagai “zalim dan menyalah-gunakan kuasa” semata-mata untuk terus berkuasa.Mereka juga mengkritik Perdana Menteri dan meragui kenyataan-kenyataan beliau dan menteri-menteri yang lain. Cara kerajaan menangani isu-isu politik juga dilihat kelam-kabut dan tidak masuk akal. Tetapi apakan daya pelajar yang menuntut keadilan ini, juga akhirnya “diawasi” oleh kerajaan.Tindakan mutakhir ini dipercayai atas sebab-sebab kerajaan BN semakin bimbang penyelewengan semakin tersebar dan rakyat terus hilang keyakinan terhadap BN dan Umno.
KE ATAS
 

SATU LAMBANG, SATU NAMA -- CHANDRA
Barisan Alternatif mungkin akan menggunakan “satu lambang dan satu nama” baru di samping lambang parti masing-masing dalam pilihan raya umum nanti, jelas Dr Chandra Muzaffar, Timbalan Presiden KeADILan. Usaha ini bertujuan memantapkan keyakinan rakyat terhadap kesatuan dan kemampuan Barisan Alternatif untuk mentadbir negara ini.
KE ATAS
 

NIK AZIZ JELASKAN CARA-CARA BERSUMPAH
Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat, menjelaskan bahawa dalam Islam, terdapat cara-cara bersumpah yang sudah ditetapkan - bukan cara Kristian yang dicadangkan pemimpin UMNO Kelantan, Tengku Razaleigh Hamzah. Caranya ialah melafazkan kata-kata “wallahi, wabillahi, dan watallahi”. Bukannya bersumpah di depan al-Qur’an, bersumpah memegang al-Qur’an atau bersumpah menjunjung al-Qur’an. Cara-cara bersumpah yang tidak mengikut cara-cara bersumpah dalam Islam tidak diterima oleh Allah, dan sumpah itu dianggap batal.
KE ATAS

UMNO TIDAK SETUJU HAPUSKAN ISA
Pemangku Ketua Pemuda UMNO, Hishamuddin Tun Hussein, hari ini berasa ISA dan Akta Universiti (AUKU) tidak perlu dipinda atau dihapuskan.  Beliau memberikan reaksi sedemikian apabila parti Gerakan, anggota komponen dalam BN, meluluskan usul dalam mesyuarat agungnya dua hari lepas supaya ISA dihapuskan. Hari ini, Pemuda-Pemuda BN akan bermesyuarat tentang isu ini. Perkembangan terbaru ini menunjukkan desakan orang ramai dan kritikan Barisan Alternatif terhadap undang-undang zalim ISA semakin mendapat tempat, termasuk dalam kerajaan dan BN sendiri. Umno dipercayai akan menekan anggota-anggota BN yang lain agar tidak menghapuskan ISA.
KE ATAS

KES RAFIDAH: BAGAIMANA PULA?
Tindakan Dr Mahathir campur tangan dalam usaha Jabatan Peguam Negara untuk mendakwa Menteri Industri dan Perdagangan Antarabangsa, Rafidah Aziz, MEMBUKTIKAN bahawa Perdana Menteri SENGAJA cuba menutup penyelewengan-penyelewengan di sekelilingnya. Apakah Mahathir juga terlibat dengan penyelewengan-penyelewengan itu? Mengapa pula Eric Chia dilindungi Mahathir? Apa untungnya Rafidah Aziz tidak didakwa? Perbuatan melindungi penjenayah adalah satu kesalahan jenayah.
KE ATAS

MAHATHIR SOROK MAHLIGAI: KENAPA?
Putrajaya sudah didiami pegawai-pegawai kerajaan. Bangunan mewah dan megah Jabatan Perdana Menteri, jalan raya dan tiang lampu, tasik dan masjid, disiarkan di dada-dada akhbar harian. Orang ramai juga dibenarkan melawat Putrajaya. Tetapi.... Kenapa foto mahligai mewah milik Perdana Menteri tidak disiarkan? Jauh sekali untuk mengharapkan orang ramai mendekati dan mengambil foto kenang-kenangan. Jika benar mahligai RM200 juta itu dibina atas persetujuan bekas Menteri Kewangan yang lalu, Anwar Ibrahim, berilah peluang rakyat lihat mahligai itu, dan mendedahkan contoh penyelewengan Anwar. Aduhai Mahathir, kenapa hendak sorok-sorok pula?
KE ATAS
 

SKANDAL PERWAJA: BPR GAGAL -- PRM
BPR gagal menjalankan tanggungjawabnya membanteras rasuah dalam kes penyelewengan Perwaja. Setelah hampir tiga tahun kes Perwaja dilaporkan ke Parlimen oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, BPR masih tidak selesai melakukan penyiasatan. Usahkan tindakan pendakwaan di mahkamah dilakukan, penyiasatan pun tidak siap-siap, demikian menurut Hassan Karim, Ketua Penerangan PRM. “Kelewatan ini sengaja dilakukan dengan tujuan untuk menutup penyelewengan dan rasuah yang berlaku.” Sekarang, Anwar sekali lagi mendedahkan isu penyelewengan Perwaja. Beliau telah membuat laporan polis dari dalam penjara. Beliau mendakwa Perdana Menteri, Dr Mahathir terlibat secara langsung dalam kes tersebut. Sebelum ini, parti-parti pembangkang, NGO dan individu perseorangan tidak henti-henti mendesak BPR dan Perdana Menteri supaya menyelesaikan segera penyiasatan kes Perwaja. Sampai sekarang, BPR memberi alasan yang lapuk, iaitu penyiasatan lewat kerana susah mendapat kerjasama pihak-pihak di luar Malaysia.KE ATAS
 

BN PINGGIRKAN PELAJAR UNIVERSITI -- RUSTAM SANI
Naib Presiden PRM, Rustam A Sani, membidas sikap kerajaan BN yang mengkambing-hitamkan pelajar-pelajar di IPT tempatan. Dengan menggunakan undang-undang yang zalim, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), pelajar dilarang terlibat dengan politik. Rustam menyifatkan dasar-dasar pendidikan UMNO-lah yang menyebabkan pelajar Melayu gagal atau lemah. Sebagai pemimpin negara dari Umno,Mahathir tidak wajar menyalahkan orang lain. “Tangisan itu”, merujuk esakan Dr Mahathir di Kedah minggu lalu, “sepatutnya kerana menyesali kegagalan dirinya sendiri,” ulas Rustam lagi. Bagaimana pemimpin negara yang memerintah selama 18 tahun dan parti yang menguasai negara ini selama lebih 40 tahun boleh menyalahkan orang lain atas dasar-dasar yang digubalnya? Ahh... lakonan lagi!KE ATAS

HARAKAH DITEKAN LAGI
Akhbar Harakah hari ini diingatkan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri supaya “jangan melampau”. Kononnya, Harakah melaporkan berita-berita yang boleh menimbulkan “huru-hara dan keadaan tidak stabil”, ujar beliau lagi.Namun, kenyataan itu mencerminkan ketakutan pihak Umno dan kerajaan BN kepada pengaruh Harakah dan Barisan Alternatif. Sejak Oktober tahun lalu, Harakah telah meningkat jualannya dari 60,000 setiap keluaran kepada 300,000 setiap keluaran apabila rakyat negara ini tidak lagi percaya pada berita-berita akhbar harian dan TV.KE ATAS

Isu No. 3 – 28 Julai 1999

BSKL Bukan Petunjuk Ekonomi - TPM 

Indeks Bursa Saham Kuala Lumpur yang rancak naik sebelum ini, dan kononnya “petanda” ekonomi negara sudah pulih, sudah menjunam dengan banyaknya sejak akhir minggu lalu. Timbalan Perdana Menteri kelmarin mengakui apa yang telah lama dinyatakan oleh Alernatif, iaitu “indeks BSKL bukan satu-satunya petunjuk ekonomi.” Lagi pun, “memang kebiasaannya indeks itu ada naik dan turun,” jelasnya lagi.Amboi, kalau indeks naik, petunjuk ekonomi. Kalau indeks turun, petunjuk apa?Keatas

Perwaja: Memang PM Terbabit
Dua surat yang ditandatangani Perdana Menteri bagi meluluskan projek-projek Perwaja menjadi bukti bahawa beliau sendiri terlibat dalam penyelewengan syarikat itu. Oleh itu, tuduhan kononnya keputusan itu diambil secara “muafakat” dan membabitkan bekas Menteri Kewangan, Anwar Ibrahim, merupakan satu lagi usaha mengelirukan orang ramai. Bagaimanapun, hanya sebuah akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Jit Poh yang melaporkan kenyataan Anwar Ibrahim yang mendakwa Perdana Menteri sendiri yang memberi kelulusan. Penjelasan Anwar ini sejajar dengan laporan beliau kepada polis. Pada hujung 1995 lagi, Perwaja mengalami kerugian RM3,000 juta, tetapi anggaran terbaru menunjukkan kerugian di sekitar hampir RM7,000 juta. Keatas

Perwaja: Eric Chia Masih Bebas
Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Datuk Ahmad Zakri Husin, menafikan bahawa bekas Pengurus Besar Perwaja, Datuk Eric Chia, sudah ditahan polis. Paspot Eric Chia juga tidak ditarik polis. Katanya, pihak polis juga belum lagi menghubungi BPR. BPR hanya menyiasat sejumlah RM76.4 juta, sementara jumlah selebihnya dikelaskan sebagai “kecurian atau jenayah penyelewengan hartabenda,” jelas Ahmad Zakri lagi. Untung juga jadi kroni PM.Keatas

ISA Masih Kekal -- Pemuda BN
Pemuda Barisan Nasional (BN) hari ini memutuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), yang diwarisi dari penjajah Inggeris, mesti dikekalkan. Pemuda BN yang bermesyuarat semalam menolak usul Gerakan, sebuah parti anggota BN. Pengerusinya, Hishamuddin Tun Hussein, menegaskan “akta ISA masih diperlukan lagi dan belum sesuai dihapuskan atau dipinda buat masa ini.” Hishamuddin juga turut mempertahankan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), malah menganggap peraturannya tidak cukup ketat.Keatas

Siapa Dewakan IMF?
Timbalan Perdana Menteri menuduh PAS “mendewa-dewakan IMF”. PAS selama ini menganggap pemulihan ekonomi kerajaan tidak berjaya, jika dibandingkan beberapa negara Asia yang lain. Sambil menyebut Laporan Eksekutif IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa) yang “memuji” ekonomi Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyelar sikap PAS itu. Siapa sebenarnya yang mendewa-dewakan IMF? Kalau tidak dewakan IMF, kenapa Pak Lah mesti sebut sanjungan IMF terhadap Malaysia dalam laporan itu?Keatas

Rundingan Proton-Petronas Tamat
Rundingan antara Petronas dengan DRB-Hicom untuk membeli saham Proton sebanyak 27.2 peratus sudah siap. Persetujuan tertentu sudah pun dicapai, jelas Pengerusi DRB-Hicom. Usaha inidilihat satu lagi bentuk Petronas “menyelamatkan” sebuah lagi syarikat kroni.Keatas

 
Pegawai SPR Hadiri Program Umno
Parti KeADILan Nasional mempertikaikan kehadiran seorang pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di satu program anjuran Umno di sebuah daerah di Perak. Sepucuk surat mengenai hal ini sudah pun diedarkan. KeADILan bimbang kehadiran Pegawai SPR daerah itu menunjukkan “pakatan” antara Umno dengan pihak SPR. Kehadirannya menguntungkan Umno dan boleh mengakibatkan prejudis kepada Barisan Alternatif. Namun, Menteri Besar negeri itu, Ramli Ngah Talib mempertahankan tindakan Abdul Rahim Salleh, yang juga seorang Pegawai Daerah, menghadiri majlis itu.Keatas
 

Swasta Kurang Yakin Pemulihan? 

Pihak swasta di negara ini dikecam hari ini kerana tidak bekerjasama dengan kerajaan menyebarkan “maklumat-maklumat pemulihan ekonomi” di luar negara. Dalam kenyataan yang sama, Pengerusi MAS, Tajuddin Ramli, juga menjelaskan bahawa pencapaian MAS masih belum memuaskan.Keatas

 

Rang Perlindungan Pengguna untuk Pilihanraya 

Rang Undang-undang Perlindungan Pengguna yang dibentangkan dan diluluskan di Dewan Rakyat disifatkan sebagai satu “kempen pilihan raya”, hujah wakil-wakil dari DAP dan PAS. M Kulasegaran dari DAP menyifatkan “rang undang-undang itu lemah dan tidak memberi perlindungan secukupnya kepada pengguna,” laporan dalam Berita Harian dipetik.

Sementara Mohamad Sabu dari PAS mahukan isu halal-haram makanan dimasukkan ke dalam Tribunal Tuntutan Pengguna. Sementara Tan Kok Wai dari DAP mempertikaikan mengapa pengguna tidak boleh mengambil peguam apabila membawa kesnya ke tribunal itu. Oleh itu, wakil-wakil Barisan Alternatif menyifatkan rang tersebut bukannya untuk perlindungan pengguna tetapi semata-mata alat kempen politik BN.Keatas

 

Debat di RTM: Khalil Takut Kerajaan Dimalukan

Menteri Penerangan dan juga Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Khalil Yaakob bimbang jika diadakan debat antara Umno dan PAS di stesyen TV milik RTM, kerajaan akan menerima malu. Dengan sikap buruk sangkanya, Khalil berhujah “PAS bukan hendak berbahas, PAS hanya bertujuan memalukan kerajaan.” Beliau mengulas isu debat antara Ketua Pemuda PAS dengan Pemangku Ketua Pemuda Umno.Keatas

 

Mahathir Takut Komputer

Pakar perancang Koridor Raya Multimedia (MSC), dan juga Perdana Menteri, hari ini memberi amaran “bahaya komputer kepada negara-negara membangun”, lapor The Sun. Beliau juga menyindir beberapa perkembangan baru dalam dunia perkomputeran seperti kerajaan elektronik (e-government) dan perdagangan elektronik (e-commerce). Dua perkembangan ini sebenarnya sudah dimasukkan sebagai dua program utama MSC. Aik? Bagaimana pula Mahathir boleh takut pada komputer dan perkembangan baru dunia teknologi maklumat? Sejak internet digunakan untuk mendedahkan penyelewengan beliau....Keatas

 

Isu No. 4 – 29 Julai 1999

 

Awang Had Sanggah PM 

Prestasi pelajar Melayu lemah bukan kerana politik, tetapi akibat kurang makanan seimbang, khususnya protein, jelas pakar pendidikan Profesor Awang Had Salleh. Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad yang menyalahkan pelajar Melayu “suka berpolitik” menjadikan mereka lemah dalam pelajaran. “Pelajar Cina utamakan sayur, ayam dan sup” jelasnya, “tetapi pelajar Melayu hanya berkongsi seketul ayam.” Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda Umno menyatakan hanya segelintir pelajar terlibat dengan politik, sementara majoriti pelajar menjadi “pemerhati”. Apa lagi PM, siapa yang betul? Dr Mahathir yang suka bercakap bohong atau seorang pakar pendidikan selama 32 tahun?Keatas

 

 

Pilihanraya Umum 1999 Guna Senarai 1998

Seramai 9.7 juta pengundi, termasuk 700,000 pengundi yang bertukar alamat, akan membuang undi jika pilihan raya umum diadakan tahun ini. Daftar itu tidak termasuk pendaftaran baru yang bermula awal April hingga Mei tahun ini. “Daftar tahun 1998 yang diluluskan 7 Januari lalu akan digunakan,” jelas Pegawai Perhubungan Awam SPR, Muhamad Azhari. Sebanyak 193 kawasan Parlimen akan dipertandingkan. Ini bermakna seramai 650,000 pengundi baru muda - yang kebanyakannya barangkali tidak setuju dengan kerajaan -TIDAK BOLEH MENGUNDI. Lebih kurang 200,000 pengundi baru mendaftar setiap tahun, tetapi lebih dari tiga kali ganda mendaftar pada tahun ini setelah peristiwa Anwar bermula.Yang anihnya, mereka yang ingin menukar alamat - sebahagian besar untuk membantu calon UMNO yang lemah - dapat diterima, sedangkan mereka yang baru mendaftar tidak dapat mengundi. SPR, janganlah ikut telunjuk PM dan Umno sahaja…Keatas

Kaji Semula Nama Islam
Seorang senator mendesak agar pertubuhan yang menggunakan nama Islam “digugurkan”, sambil menyebut organisasi yang dimaksudkan ialah PAS (Parti Islam Se-Malaysia) dan ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia).Senator Rosli Mat Hassan mencadangkan penel kajian itu ditubuhkan di Kementerian Dalam Negeri. “Tindakan ini mesti disegerakan sebelum nasi menjadi bubur,” jelasnya lagi “demi bangsa, agama dan negara”. Ulang sekali lagi, demi apa? Demi politik Umno ‘kan? Satu lagi bukti penindasan Umno yang semakin hilang pengaruh.Keatas

PM: Dua Penggal Sahaja, Bukan 18 Tahun!
Dr Chandra Muzaffar mendedahkan pakatan Alternatif telah mencapai persetujuan tempoh perkhidmatan bagi jawatan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri hanya setakat DUA PENGGAL sahaja.Keatas

200,000 Komputer untuk Sekolah Bistari
Menteri Pendidikan menjelaskan projek sekolah bestari akan berjalan sepenuhnya pada tahun 2002. Sekolah bistari tergendala pelancarannya sejak ekonomi negara gawat pada 1997. Sehingga kini, hanya 90 sekolah menjalankan ujian dalam projek rintis. Setiap sekolah mendapat purata 100 buah komputer.Kalau kita tukar nilai RM200 juta mahligai Perdana Menteri itu, kita akan dapat 100,000 buah komputer. Dengan komputer sebanyak itu, kita boleh wujudkan 900 sekolah projek perintis, bukannya 90 sekolah. Tidak perlu tunggu tahun 2002, sekarang pun boleh!Yang jelas, Dr Mahathir utamakan dirinya sendiri dan mengakibatkan “pelajar Melayu lemah pelajaran” dan “ketinggalan arus teknologi maklumat”.Keatas

Debat: Mahfuz Rela Tanpa Pengikut
Dewan Pemuda PAS sedia berdebat dengan pemimpin Pemuda UMNO di mana-mana stesyen televisyen tempatan walaupun tanpa kehadiran penyokongnya, kata ketuanya Mahfuz Omar. "Kami sedia berdebat dengan Pemangku Ketua Pemuda UMNO Datuk Hishammuddin Tun Hussein di mana-mana stesyen televisyen, termasuk RTM, walaupun tanpa penonton, dengan syarat debat itu disiarkan secara langsung," katanya dalam satu kenyataan. Beliau mengulas kenyataan Menteri Penerangan, Tan Sri Mohd Khalil Yaakob yang menganggap debat di antara PAS dan UMNO akan menimbulkan kekacauan oleh penyokong PAS.Keatas

Harga Saham Menjunam Lagi
Indeks BSKL jatuh 13 mata lagi ke 782 mata. Kejatuhan ini akibat tiada sokongan pasaran sesi petang, sumber BERNAMA dipetik hari ini. “Kebanyakan pelabur berhati-hati dan berada di pinggir,” jelas seorang dealer.Hai, nampaknya ekonomi kita menjunam jugalah tu… Ya-lah bukankah indeks BSKL atau harga saham itu petunjuk prestasi ekonomi, seperti yang diajar oleh menteri-menteri Umno sebelum ini.Keatas
 

Kakitangan Awam, Mahathir Bila Lagi?

Kerajaan membuat keputusan semua ketua jabatan mengisytiharkan jumlah aset masing-masing dalam tempoh setiap tiga tahun, demikian jelas Ketua Pengarah JPA, Samsuddin Osman. “Langkah ini penting kerana sebelum ini tidak ada tempoh masa ditetapkan.” Hai, sebegitu lama, baru sedar perlu perubahan ini?Tak ‘kan di kalangan pegawai tinggi kerajaan sahaja. Perdana Menteri, menteri-menteri dan ahli-ahli keluarga terdekat bila lagi mahu isytiharkan harta kepada orang ramai? Sekarang rakyat pertikaikan menteri selewengkan duit rakyat, inilah masanya PM perlu isytiharkan, termasuk 200 lebih syarikat anak-anaknya.Keatas

 

Kroni Kuatkan Cengkaman ke Atas Media.

Kumpulan media yang terbesar di negara ini mengadakan perubahan struktur pengurusan besar-besaran Selasa lalu. Usaha ini dilihat bertujuan memperkuatkan kroni-kroni tertentu dalam Umno. Perubahan di NSTP Bhd dan Sistem Televisyen (M) Bhd (TV3) serentak dengan Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Bumiputera Abdul Rahman Maidin menguasai 95 peratus saham Realmild Sdn Bhd, yang menguasai MRCB. Kroni kuasai media, media putar-belit berita. Eloklah tu…

Keatas