Institusi keluarga Islam kian tercabar

Berpandukan media massa, hari demi hari keutuhan akhlak manusia semakin menurun. Setiap hari media massa mendedahkan pelbagai kelakuan sumbang dan menjijikkan yang dilakukan oleh umat manusia. Pendedahan media itu tidak begitu menghairankan kita sangat jika ia berlaku ke atas bangsa-bangsa yang tidak menjadikan agama sebagai panduan hidup. Kerana memangpun sesuai perbuatan mereka itu dengan tiada pegangan agama. Tetapi jika kelakuan sumbang yang didedahkan itu berlaku ke atas masyarakat beragama seperti umat Islam, itu amat mendukacitakan kita.

Berita mengenai perkahwinan antara perempuan dengan perempuan di Tumpat Kelantan dua hari lepas sebagaimana yang dilaporkan oleh media amat-amat mendukacitakan kita. Kita menjadi tergamam bagaimana kejadian ini boleh terjadi dalam kalangan umat Islam yang masih utuh berpegang kepada nilai-nilai agama.

Dalam berita itu mengatakan seorang wanita menyamar lelaki untuk mengahwini seorang wanita sehingga ia diijabkabulkan oleh seorang imam di salah sebuah masjid di negeri tersebut. Beberapa hari kemudian barulah beberapa pihak menyedari bahawa yang menyamar lelaki itu adalah seorang wanita. Bermakna yang menjadi suami kepada wanita itu sebenarnya adalah seorang wanita.

Berita mengenai penipuan ini, bukan sahaja mengejutkan bapa si gadis itu tetapi juga oleh imam yang mengakad nikahkan pasangan tersebut. Setelah penipuan terbongkar, wanita yang menyamar lelaki itu melarikan diri.

Antara beberapa pengajaran yang boleh kita ambil daripada peristiwa tersebut ialah akhlak umat Islam hari sebenarnya sudah terlalu parah. Hinggakan mereka sanggup menerima apa-apa risiko semata-mata untuk mencapai kepuasan syahwat mereka. Sedangkan mereka tahu bahawa perbuatan itu menyalahi hukum agama dan undang-undang dunia. Walaupun begitu mereka sanggup mengenepikan semua halangan itu secara terang terangan asalkan keinginan runtunan nafsu jahat mereka tercapai.

Insiden ini juga memperlihatkan bahawa umat Islam masa kini sudah melupai adat-adat merisik, menyelidik latarbelakang yang digariskan oleh agama sebelum mempersatukan pasangan itu. Amalan merisik ini sepatutnya tidak boleh diketepikan kerana ia begitu penting dalam menjaminkan kesahihan dan keharmonian rumahtangga. Akibat meninggalkan amalan ini, maka insiden- insiden seumpama ini pasti berlaku. Amalan merisik ini hendaklah dihidupkan kembali terutamanya mencari menantu yang mempunyai ketaatan agama yang kuat.

Begitu juga peranan wali perlu dimainkan semula sebelum menerima pinangan. Wali hendaklah menyelidik terlebih dahulu latarbelakang menantunya sebelum menerimanya sebagai menantu. Sikap sambil lewa dan menyerahkan tanggungjawab kepada pihak ketiga tidak patut digalakkan dan wajar dihentikan. Sepatutnya para wali patut meneliti secara cermat sebelum memberi kata-kata perkenan.

Malangnya, semua adab-adab dan saranan yang dianjurkan oleh agama telah diketepikan oleh masyarakat kita hari ini. Semuanya memilih menantu berdasarkan darjat, pangkat dan harta. Hadith yang menganjurkan supaya mengahwinkan pasangan yang beragama diabaikan. Mereka lebih memilih mereka yang berpangkat, berketurunan dan berharta. Sebab itulah insiden yang seumpama ini pasti akan terus berlaku.

-Ketua Pengarang