Selamat Hari Raya Eidil Fitr

Allahuakbar! Allahuakbar! Allhuakbar! Walillahilhamd.

Selamat Hari Raya , Maaf Zahir Batin diucapkan kepada semua pejuang-pejuang reformasi di seluruh tanah air dan di mana sahaja saudara berada.

Sempurnalah sudah kita menghadapi tarbiah lil nas di bulan ujian yang penuh dengan keberkatan Illahi, Ramadhan Al Mubarak

Dalam suasana Takbir Hari Raya dikumandangkan dari masjid dan surau seluruh tanah air, terkenang pemimpin dan pejuang kita Anwar Ibrahim kesaorangan dalam kurungan di penjara Sungai Buluh. Dalam susana kita bergembira bersama sanak saudara  Anwar Ibrahim menanti kunjungan anak-anak dan isteri beliau. Dalam suasana kita menghadapi juadah sajian hari raya pejuang kita  berlapar,  merasa was-was  menyentuh makanan yang diberi. Pemimpin kita merindui ibubapanya, anak isterinya serta saudara maranya. 

Aidil Fitri 1420 merupakan kali kedua pemimpin kita Anwar Ibrahim terpaksa beraya di penjara. Janganlah kita  membiarkan Anwar terus menyambut Hari Raya di penjara. Marilah kita berusaha dan  memastikan bahawa tahun ini merupakan Raya yang terakhir disambut oleh pemimpin reformasi kita di penjara.

Bulan Ramadhan dan bulan-bulan sebelumnya Anwar Ibrahim melatihkan diri dengan berpuasa, berzikir, bertadarus dan menyerahkan dirinya kepada Allah swt. 

Keadaan  Anwar alhamdulillah, berkat  do'a saudara-saudara kaum muslimin beliau berada  di dalam lindungan Allah swt, jiwanya masih kental dan bersemangat. Hanya keadaan fisikalnya sedikit kurus. Bersama-sama kita mendo'akan keselamatan dan kesihatan Sdr Anwar Ibrahim.

Kita, sebagai rakyat yang sedar akan kezaliman kerajaan BN harus bersama-sama menggembeleng tenaga kita tanpa ada rasa jemu, gentar dan takut untuk meneruskan agenda kita untuk menegakkan keadilan di muka bumi ini. Walaupun kita dapat memenangi banyak kerusi dalam pilihanraya 'orkestra' baru-baru ini, ianya tidak bermakna kita sudah 'lenyap' tetapi ianya adalah mesej bahawa perjuangan secara total telahpun bermula.

Marilah kita memanfaatkan pengalaman pengalaman  ini untuk terus memantapkan lagi strategi strategi kita dengan melahirkan usaha usaha yang lebih padu lagi kreatif dalam menghadapi kezaliman, kerakusan dan keangkuhan pemimpin pemimpin  Barisan Nasional.

Marilah kita terus mempereratkan persaudaraan kita,  meningkatkan komitmen kita dalam usaha kita menegakkan keadilan di bumi tercinta ini.

 

Maaf Zahir dan Batin.

Orang Kampung