Siri Fitnah Terhadap Anwar

Tidak cukup dengan enam tuduhan rasuah menyalahgunakan kuasa ke atas polis sehingga dijatuhi hukuman enam tahun, Anwar dituduh dengan empat pertuduhan salahlaku seks yang melibatkan kes meliwat. Itu juga tidak memadai bagi Dr Mahathir Mohamad dan konco-konconya. Tak dapat tanduk, telinga dipulas. 

Sdr Idrus Ibrahim, abang Anwar, juga dituduh berkhalwat dengan isterinya sendiri yang sah. Berita liwat dan khalwat sama-sama keluar pada muka depan Utusan Malaysia pada 19 Oktober lalu. Anwar dan keluarganya sengaja dimalukan. Pendedahan yang terbaru ialah dari Datuk Abdul Murad Khalid, Bekas Naib Gabenor Bank Negara (BNM). Beliau mendedahkan kononnya Anwar mengawal sebanyak 20 Akaun Induk yang diuruskan oleh kroni-kroninya yang membabitkan aset, saham dan wang bernilai lebih RM3 bilion.

Siapa Datuk Abdul Murad Khalid?

Pada 16 September lalu, Datuk Murad telah didakwa di mahkamah atas tuduhan gagal mendedahkan maklumat sebenar mengenai saham-saham syarikat Ben Harta Sdn. Bhd. Dan 51 harta dalam pegangannya bernilai RM23 juta. 

Abdul Murad Khalid ini akan dibicarakan pada 13 Mac tahun depan. Hanya selepas ditangkap, dan didakwa di mahkamah, barulah Abdul Murad membuat pendedahan tentang Anwar. Dalam persidangan akhbarnya pada 28 Oktober, Abdul Murad berkata, "Saya mengaku bahawa kenyataan yang saya buat hari ini tidak dipaksa oleh sesiapa atau bagi membantu memperoleh layanan istimewa dalam hubungan dengan tuduhan yang saya hadapi,". Tetapi itulah hal yang sebenarnya. Pendedahan yang dibuatnya dalam keadaan tertekan.

Penafian Tan Sri Abdullah Ahmad

Ramai orang yang dituduh oleh Abdul Murad masing-masing menerima sekian-sekian juta dari Anwar. Antaranya ialah Duta Khas Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Tan Sri Abdullah Ahmad. Menurut Murad, Anwar Ibrahim telah mengarahkan bayaran sebanyak RM5 juta kepada Tan Sri Abdullah. Tetapi pada hari yang sama, pendedahan Murad itu dibuat, Tan Sri Abdullah telah menafikannya. "Saya menafikan sekeras-kerasnya apa-apa kenyataan bahawa saya telah menerima wang berjumlah RM5 juta,".

Penafian Dr Chandra Muzaffar


Datuk Murad juga berkata Anwar telah mengarahkan bayaran sebanyak RM5 juta kepada Aliran dan Chandra Muzaffar. Pada hari yang sama juga, Timbalan Presiden Parti Keadilan Nasional, Dr Chandra Muzaffar menyifatkan Kenyataan Berkanun Murad sebagai pembohongan yang tidak munasabah sama sekali. 


Dr Chandra turut menafikan pernah menerima RM5 juta daripada Anwar. "Tidak pernah Aliran dan saya sebagai individu menerima apa-apa wang daripada Anwar," kata Dr Chandra Muzaffar dalam satu kenyataan akhbar pada 28 Oktober. 

Presiden Aliran juga telah membuat kenyataan serupa. Aliran dan Dr Chandra akan membawa saman memfitnah terhadap Datuk Murad atas kenyataannya.

Mahathir Guna Cara Gestapo Hitler

Tiga orang telah menafikan. Lebih ramai lagi akan tampil ke depan menerangkan keadaan dan kedudukan yang sebenar. Anwar Ibrahim juga mempunyai hak untuk membuat penjelasan. 

Pendedahan Datuk Murad ini macamlah juga pendedahan orang tahanan Nazi yang ditangkap oleh polis Gestapo di bawah Hitler. Tidak terperanjat jika orang kepercayaan Anwar Ibrahim yang bernama Abdul Murad Khalid selepas ditahan dan dihadapkan ke mahkamah tiba-tiba mengkhianati dan memfitnah sahabat sendiri. Zaman Hitler lebih dahsyat lagi.

Kawan-Kawan Yang Membelot dan Memfitnah

Pada tahun 1944, seorang wanita Jerman telah mengkhianati suaminya sendiri dengan mengadu kepada Gestapo bahawa suaminya itu telah mengeluarkan kata-kata yang menghina diktator Hitler. Akibat aduan itu, suami wanita itu telah ditangkap dan dijatuhi hukuman bunuh menurut undang-undang Nazi. Kes ini dikenali sebagai "The Grudge Informer Case". 

Fenomena seperti ini sedang muncul di Malaysia hari ini. Pada bulan Jun lalu, Datuk Ahmad Zahid Hamidi, seorang lagi sahabat Anwar telah belot dan mengkhianati Anwar dengan tunduk meminta maaf kepada Mahathir Mohamad dan mengaku salah kerana kononnya mengikut kehendak Anwar supaya membangkitkan isu nepotisme dan kronisme dalam Perhimpunan Pemuda UMNO pada tahun 1998. 

Senarai pembelot-pembelot ini akan bertambah dari semasa ke semasa. Kerana jawatan, pangkat dan wang, ramai orang yang tidak tahan akan tekanan dan ugutan Gestapo Mahathir. Seorang demi seorang akan mengutuk, menghina, mendedahkan itu dan ini tentang Anwar.

Tuduhan Murad Serius Dan Amat Berat

Ini bukan perkara main-main. Wang RM3 bilion dikatakan terlibat. Orang-orang asing (Amerika) dikaitkan sama. Wang rizab negara dalam Bank Negara dan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga terancam. Pelbagai peraturan kewangan dan undang-undang dikatakan dilanggar. 

Jadi satu hal perlu ditanya kepada Datuk bernama Abdul Murad Khalid. Anda seorang Datuk, bukan budak belum akil baligh. Anda juga bukan budak pejabat, tetapi Penolong Gabenor Bank Negara. Jika benar seperti yang anda dedahkan, kenapa selama bertahun-tahun ini anda biarkan saja hal ini berlaku begitu sahaja? Kenapa setelah anda ditangkap dan mahu dibicarakan, baru hal-hal ini didedahkan?

Jika Benar Anwar Bersalah Dan Rasuah 

Jika benar Anwar bersalah dan rasuah sedemikian serius dan berat, seperti yang didedahkan oleh Abdul Murad Khalid, sepatutnya kes ini lebih dahulu dibicarakan. Tidak perlulah kes yang melibatkan tilam-tilam diusung dan ujian-ujian DNA dibentangkan di mahkamah dalam enam pertuduhan rasuah yang tidak melibatkan satu sen pun duit rasuah melainkan dakwaan kononnya menyalahgunakan kuasa polis. Dengan ada tuduhan baru ini, nampaknya perbicaraan terhadap Anwar akan berlarutan. Mungkin mereka mahu Anwar menghabiskan sisa umurnya dalam penjara.

Sidang Akhbar Murad Khalid

Murad berkata, perbuatan Anwar mendesak tabung-tabung negara diuruskan oleh APPC sebagai "ancaman dan pengkhianatan kepada kepercayaan awam."

Murad juga berkata, "Apa yang saya nyatakan itu tanpa ragu-ragu membuktikan bahawa Anwar merupakan seorang pemimpin tidak berprinsip yang bersedia mengorbankan tabung-tabung negara untuk kepentingan politiknya dengan pertolongan elemen-elemen asing,"

Murad juga berkata, "Perkembagan-perkembangan semasa yang berlaku di negara ini yang mengancam ketenteraman awam dan kehidupan rakyat bagi memajukan cita-cita politik Anwar adalah bukti yang cukup untuk menyokong pernyataan ini,"

Seterusnya, Murad berkata, "Sekarang baru saya sedar bahawa pendekatan tersebut (polisi-polisi kewangan cadangan Anwar) merupakan rancangan politik Anwar untuk menghancurkan ekonomi negara dan menjatuhkan Malaysia dalam usaha menjemput Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) bagi membolehkan Anwar memaksa Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan dan beliau (Anwar) mengambil alih jawatan Perdana Menteri," kata Murad.

Pengakuan Murad

Murad sebenarnya bukan membuat pendedahan semata-mata. Beliau juga seperti petikan di atas telah membuat pengakuan atau confession. Cara pengakuan itu diucapkan, macam ada unsur-unsur asing atau politik dimasukkan untuk disesuaikan dengan selera Mahathir dan konco-konconya. 

Pelik juga Murad yang satu ini. Setelah tersedar agaknya bukan main dia begitu prihatin tentang ketenteraman awam, pengaruh asing, IMF dan lain-lain ancaman dan bahaya. Bagi sesiapa yang sudah faham tentang modus operandi Special Branch (Cawangan Khas), terasa semacam ada perisa atau flavour Special Branch dalam teks pendedahan dan pengakuan Abdul Murad Khalid ini.

Ada Lagi Kutukan Dan Umpat Keji Terhadap Anwar? 

Ada. Akhirnya, Datuk yang baru akil baligh ini yang bernama Abdul Murad, baru tersedar perbuatan berdosanya, agaknya. Lalu, dengan muka sedih, sama macam Ahmad Zahid Hamidi juga, seorang lagi Datuk yang baru sampai akil baligh, kedua-duanya meminta maaf. 

Zahid lebih teruk. Dia hanya meminta maaf pada Mahathir Mohamad sahaja. Tetapi Murad lebih luas pinta kemaafannya. Dia meminta maaf kepada rakyat Malaysia kerana membiarkan dirinya diperalatkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Semua pembelot dan pemfitnah ini meletakkan kesemua kesalahan ke atas diri Anwar Ibrahim. 

Apakah dengan fitnah dan pendedahan - yang dipertikaikan kesahihannya -bermakna pembelot-pembelot ini boleh cuci tangan selepas menyerah tunduk pada kehendak Mahathir dan para konspirator tertinggi itu?

Apa Tindakan Kerajaan

Jadi sekarang sampai kepada hal yang terpenting. Pendedahan serius dan berat Abdul Murad Khalid telah diketahui umum. Jadi apa tindakan kerajaan? Tak cukup dengan tahu mendedahkan sahaja dengan tujuan mendapat faedah politik pilihanraya semata-mata. Siasat mesti siasat setiap tuduhan Murad itu. Suruh BPR siasat? Tak cukup. Tak kena. Tak padan. Tak telus. BPR kerja tak efisyen. BPR takut dan tunduk pada Mahathir. Siasatan Perwaja masih tak selesai. Jadi bagaimana? Segera  tubuhkan Suruhanjaya Diraja yang bebas untuk siasat segala tuduhan Murad ini. Tapi ingat. Siasat mesti adil. Dacing BN ada dua piring. Satu kanan dan satu kiri. 

Jangan Anwar Sahaja Yang Disiasat. 

Mesti siasat sama tentang penglibatan Mahathir Mohamad dalam kes Perwaja. Siasat Mahathir Mohamad dalam kes mengarahkan Petronas selamatkan syarikat perkapalan Mirzan, anaknya. Siasat bisnes anak-anak Mahathir, yang menguasai lebih 200 buah syarikat. Kemudian siasat penyalahgunaan kuasa dan perlanggaran undang-undang oleh Mahathir dalam projek mega Putrajaya, yang melibatkan kos keseluruhannya RM20 bilion. 

Bukan Anwar dan Mahathir Saja Disiasat 

Tetapi siasat juga Daim Zainuddin yang terima duit dari tokoh-tokoh korporat dan dakwaan Anwar tentang Daim kebas duit negara. Siasat Rafidah Aziz, Megat Junid, Rahim Thamby Chik sekali. Pendek kata jangan pilih-pilih. Tak kira siapa yang rasuah, siasat semuanya. Jangan pilih bulu. 

Mari kita bersihkan ke akar umbi gejala rasuah, kronisme dan nepotisme dari bumi Malaysia ini. Mahathir berani? Daim berani? Konco-konco Mahathir yang lain berani? Anwar tak perlu takut apa-apa lagi. Kalau tuduhan liwat yang sedang beliau hadapi sekarang dan kes sebelumnya dengan segala tilam dan saksi-saksi yang sensasi itu dapat beliau hadapi dengan tenang, maka fitnah yang terbaru dari Murad ini boleh ditangani dengan berani. InsyaAllah.