Ucapan Dasar Ketua Pergerakan Pemuda KeADILan Malaysia

Sdr Mohamad Ezam M. Nor

Di Perhimpunan Muafakat Pemuda KeADILan Malaysia 31 Oktober 1999

AGENDA Y2K

MEMBINA SEMULA MALAYSIA

 

Saudara Pengerusi Perhimpunan

Saudara Naib Ketua Pemuda

Barisan Exco dan Ketua-Ketua Pemuda Negeri Keadilan

Para perwakilan Pemuda Bahagian-Bahagian seluruh negara

Ahli-Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi

Ahli-Ahli Exco Wanita Keadilan

Pimpinan Pemuda Barisan Alternatif

Para pemerhati, saudara-saudara sekalian

Pertamanya, marilah kita panjatkan rasa syukur ke hadrat Allah s.w.t., yang telah memberikan kesempatan kepada kita untuk berhimpun pada hari ini. Perhimpunan hari ini cukup penting dan bermakna. Ini merupakan detik bersejarah bagi Pemuda keADILan kerana kita berhimpun di saat negara dilanda pelbagai krisis yang berpunca daripada kerakusan seorang penguasa.

Saya terlebih dahulu ingin mengucapkan selamat datang kepada semua perwakilan ke perhimpunan hari ini. Perhimpunan Muafakat Pemuda Keadilan yang bertemakan `Membina Semula Malaysia’ akan menjadi titik tolak kepada gerakan kita untuk mengembalikan kuasa rakyat ke persadanya. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada seluruh perwakilan atas komitmen yang ditunjukkan dan ini juga merupakan petanda bahawa kita telah bersiap sedia untuk turun ke gelanggang bagi menobatkan rakyat sebagai pemenang dalam pilihan raya umum yang akan datang.

Kita menghimpunkan seluruh warga Pemuda KeADILan ke perhimpunan khas ini adalah dengan satu matlamat iaitu untuk menggemblengkan seluruh kekuatan Pemuda ke arah membina semula negara Malaysia yang adil dan saksama. Kita perlu menggembleng segala kekuatan yang ada pada kita kerana tanpa kekuatan itu tidak mungkin kita akan berjaya menumpaskan kezaliman dan kekejaman yang sedang bermaharajalela di hadapan mata kita.

Tetapi kekuatan fizikal sahaja tidak mungkin cukup bagi kita menang di dalam pertempuran ini. Kita sebenarnya memerlukan kekuatan mental. Kekuatan jasmani saja tidak cukup, kita perlukan kekuatan rohani. Keberanian individu sahaja tidak cukup, kita perlukan ketangkasan organisasi. Semua kekuatan ini perlu kita gemblengkan dengan seampuh-ampuhnya.

Kita berdepan dengan cabaran yang sungguh hebat. Belum pernah selama ini generasi muda negara kita berdepan dengan perjuangan yang sebegini getir. Belum pernah selama ini "kepemudaan" sesuatu generasi muda di uji dengan sebegini pedih. This struggle demands our full manhood! Perjuangan ini menuntut pengorbanan total: raga, jiwa dan sukma.

Kita diuji dengan kesusahan dan keperitan hidup. Kita diuji dengan penderitaan. Kita diuji dengan ketakutan. Maka kita saksikan sekian ramai yang lumpuh dan kecundang. Ada yang dahulunya kita sangka akan menjulang obor reformasi. Tetapi kerana takut dan hilang daya juang maka ia merelakan dirinya menjadi budak suruhan kepada pemimpin yang zalim.

Pada mulanya kita sangkakan dia singa di tanah datar, tetapi sikapnya yang telah kita saksikan sekarang menunjukkan rupanya dia tak lebih dari seekor tikus mondok.

Sehubungan itu, kita perlu meletakkan asas yang kukuh bahawa perjuangan kita yang dimulakan hari ini mestilah sentiasa diperkasa dengan prinsip keadilan, kebenaran dan ketulusan. Malah, kita perlu bersedia untuk mengukir sejarah dan melakukan perubahan. Melihat kepada perkembangan yang berlaku di tanah air kini, kita perlu berusaha untuk membentuk generasi cemerlang yang pada dirinya senantiasa terpancar obor idealisme perjuangan yang menjulang tinggi.

Saudara-saudara Yang Saya Kasihi Sekalian,

Cabaran yang kita hadapi begitu getir kerana kita berada di perbatasan abad dan alaf. Cabaran seperti ini semestinya berlaku. Dan dalam pergelutan seperti ini muncullah pemimpin-pemimpin baru. Diperbatasan antara abad ke-19 dan abad ke-20 Asia menghadapi krisis yang besar. Imperialisme Barat berada di kemuncak keangkuhannya. Bangsa-bangsa Asia lesu dan lumpuh dan tidak mempunyai sebarang kekuatan untuk menghadapi imperialisme Barat yang datang dengan segala kekuatannya - kekuatan ekonomi, kekuatan ketenteraan, kekuatan ilmu dan teknologi, kekuatan kebudayaan dan sebagainya.

Tetapi dalam kemelut dan kegawatan tersebut, muncul pemikir dan pemimpin baru yang menyemai semangat kemerdekaan dan kebebasan di Asia dan kemudiannya mencorak benua ini untuk satu abad. Maka muncul dalam dunia Islam Jamaluddin al-Afghani dan Muhammand Abduh membawa gerakan islah. Di benua India muncul penyair filusuf Muhammad Iqbal yang mencetuskan idea Pakistan yang kemudiannya disempurnakan oleh Muhammad Ali Jinnah.

Kita mengkagumi kegigihan perjuangan Mahatma Gandhi dalam perjuangannya di Afrika Selatan dan kemudiannya membawa pulang perjuangan tersebut menuntut kemerdekaan di benua India. Di China muncul Sun Yat Sen yang meletakkan asas China moden. Dan kita tentu tidak lupa kepada Jose Rizal pejuang yang terkorban di hujung senapang semuda 33 tahun demi menggadaikan darah dan nyawanya untuk kemerdekaan Filipina.

Maka di senja abad ke-20 ini dan menjelang fajar Y2K (baca tahun dua ribu) sekali lagi Asia dilanda krisis. Maka sekali lagi Asia bergelut. Bergelut menentang kediktatoran, bergelut menentang rasuah, bergelut untuk menegakkan keadilan dan pemerintahan demokrasi, bergelut untuk membela hak asasi manusia, bergelut untuk kebebasan bersuara dan berkumpul. Bergelut untuk menghapuskan pepijat ekonomi, kronisma dan nepotisme.

Maka di dalam pergelutan itu muncullah wira-wira baru. Dan kita telah saksikan satu demi satu mereka yang dahulunya diburu, mereka yang dahulunya ditekan, mereka yang dahulu menjadi sasaran propaganda pemerintah, mereka yang dahulunya dipinggirkan muncul dengan pilihan rakyat memegang tampok kekuasaan.

Insya Allah, inilah juga yang bakal berlaku di Malaysia! Kita sekarang diburu. Kita ditekan dan ditindas. Kita dihina dan dicerca. Mereka yang dahulu pernah bersahabat dengan kita telah dirasuah dan ditekan untuk memfitnah kita. Saya dicap sebagai pengkhianat. Tetapi perubahan tetap akan berlaku. Change is irriversable and unstoppable! Anginnya bertiup semakin kencang. Membujur lalu, melintang patah!

Tekanan dan penindasan ini mengingatkan saya kepada tokoh renaissance Jawa yang bernama Raden Ngabehi Ronggowarsito. Antara karyanya yang paling relevan untuk kita renungi ialah puisinya yang paling agung yang menceritakan penderitaan batin dan jiwa masyarakat Jawa di abad ke 19 akibat kezaliman dan ketidakadilan. Ronggowarsito telah menulis sebuah puisi bertajuk Zaman Edan dan puisi tersebut berbunyi:

Hidup di Zaman Edan

Gelap jiwa binggung fikiran

Turut edan hati tak tahan

Jika tidak turut

Batin merana dan penasaran

Tertindas dan kelaparan

Tapi janji Tuhan sudah pasti

Seuntung apapun orang yang lupa daratan

Lebih selamat orang yang menjaga kesadaran

 

MENCORAK BUDAYA POLITIK YANG BERAKHLAK

Saudara-saudara sekalian,

Ketika Parti Keadilan Nasional mula-mula ditubuhkan ada yang mencemuh kita, kononnya parti ini tiada pemimpin berwibawa. Yang mereka fahami dengan "pemimpin berwibawa" adalah tidak lain dan tidak bukan dari mereka yang telah lama bergelumang dengan politik, berpolitik dengan budaya politik lama, politik jatuh menjatuh, politik cantas mencantas, politik memburu wang dan kuasa, politik yang hanya mengaku kawan di musim lebat dan ranum, politik yang hampa dari nilai kebenaran, keadilan dan kejujuran. Kalau pemimpin yang berwibawa yang mereka maksudkan adalah orang lama dan pendekar yang mahir dalam sepak terajang politik yang berselut dengan rasuah, dan bergelumang dengan fitnah dan tipu daya, maka biar saya tegaskan disini:

Sesungguhnya kita tidak kepingin dengan mereka. Mereka adalah golongan dayus dan bacul. Mereka adalah mereka yang bejat akalbudinya dan hati nurani mereka terkunci dari kebenaran dan keadilan. Merekalah yang menjadikan politik satu kegiatan yang jijik dan hina seperti yang pernah disifatkan oleh Anwar Ibrahim sebagai "low morale and uncharismatic profession"

Sebab itu saya sejak awal lagi telah menyatakan pendirian bahawa perjuangan kita hari ini sewajibnya menjurus kepada usaha untuk menentang pemimpin yang terus bergelumang dengan amalan rasuah, penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, kronisme dan nepotisme. Amalan-amalan ini jika dibiarkan berterusan hanya akan meruntuhkan tamaddun bangsa.

Membiarkan amalan-amalan ini terus berleluasa hanya akan menyebabkan kepincangan berlaku dalam masyarakat. Masyarakat yang merelakan pekung rasuah merebak, penyelewengan dilakukan, penyalahgunaan kuasa tidak dihentikan, perlu bersedia untuk bergelumang dalam segala macam bentuk kezaliman. Hal ini semakin jelas berlaku sekarang. Kezaliman dan penindasan terhadap rakyat seolah-olah satu pemandangan biasa di negara ini kini. Semua ini terjadi kerana keadilan, prinsip dan maruah sudah boleh dijual beli oleh penguasa yang rakus dan gila kuasa.

Malah dasar yang dibentuk iaitu melahirkan segelintir golongan elit, lebih mendedahkan negara ini kepada kehancuran angkara rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan. Banyak pihak yang semakin berlumba-lumba untuk menempatkan dirinya dalam kumpulan elit tersebut kerana di sana terletaknya kuasa dan pengaruh.

Ini menghidupkan semula amalan fuedal. Golongan bangsawan terus memunggah kekayaan negara manakala rakyat pula menderita akibat kesempitan hidup. Di bawah pimpinan elit ini, kuasa rakyat dinafikan dan diperkosa. Kita tidak ada hak untuk bersuara, kita tidak hak untuk berbicara, kita tidak punya apa-apa hak kecuali dipaksa untuk tunduk kepada telunjuk mereka.

Dengan sebab itu, kita tidak punya pilihan lain selain daripada meletakkan keutaman untuk membanteras kebejatan yang berlaku ini. Bukan mudah untuk kita menentang penguasa zalim ini. Namun yakin dan percayalah sekiranya kita sedia untuk meletakkan asas perjuangan yang mulia, InsyaAllah, kita mampu membuat perubahan di negara ini.

Perjuangan kita hari ini, bukanlah perjuangan politik yang dicorakkan oleh para pemimpin negara yang ada kini. Politik yang dicorakkan oleh Mahathir Mohamad hari ini adalah politik yang tidak punya maruah. Politik yang tidak mengenal sempadan halal dan haram. Malah politik yang dipelopori oleh Mahathir adalah politik ketaksuban kepada dirinya sebagai pemimpin yang perlu dipatuhi dan dituruti, walaupun bercanggah dengan prinsip dan membelakangkan kepentingan rakyat.

Sedangkan hari ini, generasi muda mendambakan budaya politik baru yang sarat dengan akhlak perjuangan. Soal prinsip dan idealisme perlu lebih jelas. Kesucian politik perlu dikembalikan setelah dicemari dengan amalan korup oleh para pemimpin seperti Mahathir Mohamad. Politik bukan lagi wadah untuk merebut jawatan dan pangkat, bukan tempat untuk mencari kekayaan, bukan lagi saluran untuk menghalalkan penyelewerngan dan kepincangan.

Sebaliknya, kita hari ini, perlu mencorakkan budaya politik yang lebih berakhlak. Politik yang berpaksikan kepada menghormati hak Tuhan dan hak sesama insan. Maknanya, kita berpolitik untuk meletakkan batas antara yang hak dan yang batil. Perlu jelas, kita bukan mengamalkan politik matlamat menghalalkan cara.

Selama ini Mahathir telah meletakkan asas politik matlamat menghalalkan cara. Matlamat untuk membangunkan negara telah menghalalkan amalan rasuah. Matlamat untuk membangunkan rakyat telah menghalalkan penindasan demi penindasan dibuat. Matlamat untuk membangunkan ekonomi telah menghalalkan mereka merompak wang rakyat, melakukan penipuan dan mengkayakan kaum keluarga dan sahabat handai.

Inilah cabaran kita hari ini. Pemuda Keadilan tidak punya pilihan selain daripada menolak sejauh-jauhnya fahaman politik yang dipelopori oleh Mahathir sejak 18 tahun yang lalu.
 
 

MALAYSIA DALAM "NINETEEN EIGHTY FOUR’’

Mahathir Mohamad adalah orang pertama yang perlu dipersalahkan kerana menciptabudaya politik yang begitu jelek di Malaysia. Mahathir telah mengajarkan faham politik yang nihilistic - politik yang tidak berpegang kepada sebarang nilai. Beliau berkata dalam politik tidak ada musuh yang kekal dan tidak ada kawan yang kekal. Dr. Mahathir adalah contoh par excellence, contoh nombor wahid, manusia yang tidak mengenal erti persahabatan. Kerana beliau tidak pernah mengenal persahabatan setia maka beliau berusaha untuk mencerai beraikan persahabatan orang lain.

Tidak cukup dengan beliau menghina orang lain, tetapi beliau mahu sahabat karib menghina dan memfitnah sahabat karib. Sandiwara ini akan terus berlaku. Setelah siksaan dan paksaan terhadap Dr. Munawar Anees dan Sukma Darmawan untuk membuat pengakuan palsu mengenai salahlaku seks, apakah yang kita hairankan dengan kenyataan Datuk Abdul Murad Khalid.

Yang perlu kita hairankan ialah mengapa ideologi komunis telah berkubur setelah runtuhnya tembok Berlin dan selepas Deng Xiopeng melancarkan Program Empat Modenisasi tetapi taktik kotor dan jijik regim komunis masih hidup?

Apa yang dilakukan oleh Mahathir terhadap Anwar Ibrahim hari ini dan cara perlaksanaannya adalah saling tak tumpah dengan cara-cara regim komunis lakukan ke atas musuh-musuh politik mereka. Kita mahu rakyat bertanya apakah Mahathir berguru dengan Stalin dan Mao Zedong tentang cara menghapuskan musuh politik ?

Mereka yang mempelajari sejarah tentu masih ingat "the great purge", operasi pembersihan yang dilakukan oleh Stalin dan "revolusi kebudayaan" yang dilakukan oleh Mao Zedong. Kedua-kedua peristiwa ini penuh dengan "pembicaraan" atau "show trials" dan juga pengakuan atau "confessions," di mana kawan mengkhianati kawan, saudara mengkhianati saudara. Stalin mengupah orang membunuh Trotski dengan menggunakan kapak pemotong air batu. Mao Zedong membunuh calon penggantinya LinPiao dengan menembak kapal terbang yang beliau naiki.

Kita juga jangan lupa apa yang terjadi kepada Steve Biko, pejuang kulit hitam yang ditakuti oleh regim Apartheid Afrika Selatan. Beliau dipenjarakan oleh regim Apartheid dan kemudiannya didapati mati dalam penjara! Peristiwa sekejam ini belum berlaku di Malaysia. Tetapi kita wajar bertanya: Is the worst yet to come? Maka kita harus waspada dan belajar dari peristiwa masa lalu di mana pelbagai kekejaman berlaku.

Dalam tahun 1948, ketika ideologi komunis semakin kuat dan terus mara dan mengancam dunia dengan pemerintahan kuku besi dan sasterawan Inggeris, George Orwell menulis sebuah novel futuristik yang bertajuk "nineteen eighty-four" untuk menggambarkan masyarakat di bawah cengkaman kediktatoran dan totalitarianisme. Tetapi tahun 1984 berlalu, bukan totalitarianisme dan kediktatoran semakin kuat tetapi sebaliknya.

Apa yang berlaku adalah apa yang disebut oleh Samuel Huntington sebagai "The Third Wave of Democratization" gelombang ketiga demokrasi. Tetapi malang seribu kali malang tatkala negara-negara lain maju ke arah demokrasi, Malaysia mundur ke arah totalitarianisme. Maka saya mengajurkan para Pemuda membaca atau membaca semula novel "Nineteen Eighty-Four" dan satira politik "Animal Farm" untuk memahami otak dan cara-cara manusia diktator seperti Dr. Mahathir.

MATA AIR PERJUANGAN

Begitulah saudara-saudara sekelian, disenja alaf pertama, Malaysia dibelit oleh kediktatoran dan totalitarianisme. Para nasionalis dan pejuang-pejuang kemerdekaan tidak mahu penjajahan asing yang mereka usir digantikan dengan penjajahan tempatan.

Oleh itu mereka memilih demokrasi berparlimen sebagai prinsip pembahagian kuasa yang menjadi teras demokrasi berparlimen telah berkubur. Dan tugas Pemuda hari ini adalah untuk memerdekakan Malaysia dari belitan tersebut.

Tetapi perjuangan adalah satu perjalanan yang jauh. Bahkan perjalanan yang tiada hujungnya. Seorang pejuang akan berjuang sepanjang hayatnya. Bapa dan datuk kita yang berjuang untuk kemerdekaan menyangkakan bahawa perjuangan akan selesai setelah tercapainya kemerdekaan.

Hakikatnya setelah merdeka, perjuangan baru yang lebih mencabar telah menanti mereka. Begitulah di kalangan kita. Ramai yang berjuang untuk menjatuhkan Mahathir dari singgahsana kezaliman dan keangkuhannya dan menumbangkan Barisan Nasional .

Tetapi kita semua harus sedar bahawa betapa getirnya perjuangan untuk menjatuhkan manusia kejam dan munafik ini. Bagi Pemuda, ia hanyalah satu permulaan perjuangan yang panjang. Jika perjuangan kita sekadar untuk menjatuhkan Mahathir ia pasti tidak akan bertahan lama. Kalau dia tidak ditumpaskan dalam pilihan raya umum, dia akan ditumbangkan oleh masa.

Mahathir hanyalah seorang diktator tua yang lambat laun pasti dikunjungi oleh Malaikat Izrail. Tetapi perjuangan kita adalah untuk nusa dan kemanusiaan. Untuk maksud ini kita wajib memperbaharui budaya politik. Kita perlu menyemai benih nilai-nilai murni dalam budaya politik. Politik nihilistic atau real politic, politik sekadar untuk mengejar kuasa perlu dibanteraskan. Maka tidak boleh tidak, ufuk pemikiran politik generasi kita perlu diperluaskan.

Kita bergerak politik kepartian tetapi pemikiran kita jangan dikongkong oleh kesempitan dan kefanatikan parti. Parti politik hanyalah satu wadah , satu alat. Kita sudah pasti perlu menyemai semangat kecintaan kepada parti. Tetapi kecintaan dan kesetiaan kepada parti tidak boleh mengatasi kecintaan dan kesetiaan kepada prinsip perjuangan iaitu prinsip kebenaran dan keadilan. Kalau kita terlalu fanatik dengan parti, maka akan berlakulah apa yang kita saksikan di kalangan hulubalang-hulubalang UMNO hari ini. Mereka terus merangkul parti tersebut meskipun hari ini ia hanyir dan berulat dengan kekejian, rasuah, kepura-puraan dan penindasan.

Tidak ada kesetiaan yang boleh mengatasi kebenaran dan keadilan. Inilah yang diajarkan oleh Anwar Ibrahim kepada saya.

KEYAKINAN TERHADAP KEBENARAN

Saudara-saudara para perwakilan ,

Bagi menterjemahkan ajaran yang diterima, kita perlu menjadi pembela dan pelindung kepada prinsip keadilan, kebebasan dan kemanusiaan. Sebab itu, kita perlu memupuk kembali sinar keberanian seperti yang dinyatakan oleh seorang ulamak dan filasuf besar Ibn Hazm al-Andalusi iaitu "membersihkan jiwa dan mencantikkan budi."

Justeru itu, kita perlu memperlengkapkan diri kita dengan sifat-sifat terpuji yang mempunyai empat sumber penting iaitu al-adl, keadilan, al-fahmi, bijaksana, al-najadah, keberanian dan al-jud, pemurah.

Hanya dengan pemupukkan sifat-sifat inilah, dapat kita menjadi benteng hadapan yang akan mempertahankan kepentingan rakyat. Kita mesti berani dan lantang bersuara untuk menegakkan keadilan di negara ini kerana kita perlu menanamkan dalam diri kita kesungguhan dan keberanian yang berpaksikan kepada keyakinan yang mantap.

Untuk itu Pemuda Keadilan perlu meletakkan matlamat dan tekad untuk mengembalikan maruah kepimpinan negara. Kita perlu mewujudkan kepimpinan Pemuda yang peka kepada keperluan politk negara dalam menyuburkan semula amalan demokrasi. Di kala ini, negara sedang menghadapi krisis kepimpinan yang parah akibat penyelewengan golongan pemerintah dan pemimpin muda dalam pemerintah yang seperti kerbau dicucuk hidungnya. Sudah tidak ada prinsip dalam perjuangan mereka lagi. Sebaliknya kepentingan diri yang diutamakan.

Melihat kepada kepincangan ini, Pemuda perlu berpegang kepada prinsip seperti yang digariskan oleh Al-Quran iaitu adalah menjadi kewajiban kepada kita untuk menyampaikan sesuatu itu seperti adanya. Jika selepas itu wujud sokongan atau penentangan terhadap kebenaran yang kita sampaikan, itu namanya, risiko. Jika kita sudah yakin dengan sebuah kebenaran, ayuh, kita perlu terus memperkatakannya meskipun risikonya besar. Sebab itu kita sehingga hari ini masih lagi berpegang kepada seruan Dato’ Seri Anwar ``Jika takut dengan risiko jangan bicara soal perjuangan.’’

Ini kerana, dalam melaksanakan amanah rakyat, kita bukan sahaja diminta untuk melaksanakan amar makruf tetapi pada masa yang sama mesti juga berani mencegah yang mungkar. Ini benar-benar menuntut kita mengatur langkah dengan penuh keyakinan dan keberanian.

Hari ini, kita berhadapan dengan masyarakat yang memiliki kepelbagaian sikap politik. Antaranya, adalah kelompok yang tetap hidup matinya mahukan status quo dikekalkan. Tidak perlu kepada perubahan di negara ini, Golongan ini merupakan golongan yang telah sejak sekian lama menikmati puncak-puncak kenikmatan. Mereka sudah biasa dengan projek, kemewahan, penyalahgunaan kuasa, rasuah dan segala bentuk kemewahan tanpa mengenal sempadan halal dan haram.

Tidak kurang juga ekoran kepincangan yang berlaku, sudah wujud golongan yang semakin kecewa dengan segala onar yang dilakukan oleh pemerintah hari ini. Mereka kesal dengan rasuah, mereka kecewa dengan penyalahgunaan kuasa dan mereka inginkan kebenaran dan keadilan ditegakkan di negara ini. Golongan ini semakin hari semakin berkembang. Walaupun jumlahnya makin banyak, kebangkitan mereka sering ditindas oleh pelbagai bentuk tekanan dan ugutan kumpulan yang mahukan status quo dikekalkan.

Dengan sebab itu, Pemuda perlu berani. Untuk memastikan kita terus relevan dalam perjuangan rakyat, kita mestilah bersedia meletakkan perjuangan kita dan seluruh warga Pemuda sebagai pembela kepada golongan yang lemah dan rakyat keseluruhannya.

Dato’ Seri Anwar pernah menyebut ``rakyat bergantung harap kepada Permuda untuk menjadi pembela dan pelindung kepada prinsip keadilan, kebenaran dan kemanusiaan. Ia pasti gagal untuk menunaikan semua pertanggungjawaban ini sekiranya dirinya sendiri tidak luhur, murni dan bersih dari segala prasangka, salah duga dan nista.’’

KERUNTUHAN SISTEM DAN INSTITUSI NEGARA

Saudara-saudara sekalian,

Keadilan yang kita idamkan, hanya akan dapat kita capai melalui pelaksanaan sistem dan tata cara negara yang benar-benar bebas. Sistem perundangan, kehakiman, pentadbiran, politik, ekonomi dan masyarakat negara ini perlu dimantapkan semula. Apa yang jelas, kita kini berhadapan dengan keruntuhan sistem-sitem tersebut.

Sejak setahun yang lalu, ekoran pemecatan Dato’ Seri Anwar Ibrahim, rakyat dapat menyaksikan bagaimana parti yang memerintah memperalatkan institusi negara untuk kepentingan politik mereka. Tanpa segan silu parti yang memerintah memperlatkan polis, institusi kehakiman, Jabatan Peguam Negara, Unit Perancang Ekonomi, kementerian-kementerian untuk menekan dan menindas kebangkitan rakyat.

Malah, tidak keterlaluan kalau kita menyimpulkan bahawa negara kita sudah menjadi sebuah negara polis. Mana tidaknya, sejak setahun yang lalu, krisis politik tanah air tidak pernah diselesaikan melalui cara politik. Rakyat yang bangkit bersuara dibalas dengan pukulan demi pukulan oleh Pasukan Simpanan Persekutuan atau FRU.

Malah, suara rakyat yang menuntut perubahan dilaksanakan tidak dilayan selayaknya. Rakyat bukan sahaja menuntut perubahan kepimpinan negara malah seluruh sistem negara perlu dibuat perubahan. Tuntutan yang dibuat oleh rakyat ini berasas dan mempunyai hujah yang cukup kukuh. Apakah menjadi satu dosa untuk rakyat menuntut supaya sistem politik negara diperkemaskan, apakah salah untuk rakyat mempersoalan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa yang berlaku dan apakah menjadi satu jenayah jika rakyat menuntut hak mereka untuk bersuara.

Semua ini adalah soal asas dalam sesebuah negara. Malangnya, polis digunakan semahu-mahunya. UMNO dan Barisan Nasional jelas tidak berupaya untuk membendung kebangkitan rakyat. Pilihan yang ada pada mereka hanyalah mempergunakan kuasa dan kedudukan. Sebab itu, beberapa insiden yang berlaku sejak setahun yang lalu menyaksikan, seluruh agensi pelaksana undang-undang negara semakin hilang tahap profesionalisme.

Kita kecewa polis yang sepatutnya menjadi pelindung kepada rakyat tunduk kepada kehendak politik Mahathir yang semakin hari semakin hampir kepada kejatuhan. Kita juga kesal institusi kehakiman jelas ditekan oleh Mahathir untuk menurut segala keputusan yang telah dibuat olehnya sebelum sesutau itu dibawa ke mahkamah. Kita juga sedih apabila Jabatan Peguam Negara, bukan lagi sebuah badan yang benar-benar bebas kerana melakukan pendakwaan berpilih terhadap musuh-musuh politik parti pemerintah.

Ini membuktikan sistem dan institusi negara semakin hari semakin runtuh dan hilang kewibawaannya. Menjadi tanggungjawab kita, sebagai generasi penerus untuk memperbaiki kepincangan ini. Kita tidak boleh membiarkan, demi untuk terus kekal berkuasa, demi untuk menyelamatkan kepentingan politik segelintir manusia yang rakus, sistem dan pelbagai institusi negara diperalatkan.

Sebagai generasi penerus, kita yang akan mewarisi negara ini. Kita yang akan mencorakkan masa hadapan kita. Apa ertinya, sebuah negara jika sistem kehakiman tidak lagi dapat menjamin keadilan. Apa maknanya sebuah negara, jika institusi keselamatan disyaratkan hanya tunduk kepada penguasa yang rakus dan zalim, apa ertinya sebuah negara, jika kemakmuran negara dibolot oleh mereka yang berada di puncak kuasa dan apa lagi yang tinggal pada sebuah negara, jika masyarakat yang dibentuk oleh pemerintah yang ada, sudah hilang nilai-nilai murni, tidak lagi berpegang kepada moral agama, kemanusiaan dan prinsip keadilan serta kebenaran.

Malah apa ertinya demokrasi kepada kita di masa akan datang, jika penguasa hari ini memperalatkan demokrasi untuk menggandakan timbunan kekayaan dan mempertahankan kepentingan diri gerombolan masing-masing. Demokrasi yang kita harap dapat memperkasa dan membela rakyat akan terpinggir jika kita terus membiarkan sistem dan institusi negara menjadi instrumen penguasa untuk menidakkan suara rakyat.

Sehubungan itu kita perlu bangkit. Kita tidak lagi boleh menoleh ke belakang. Pemuda perlu menyusun langkah, biar datang seribu macam ugutan, biar melanda taufan dan amukan penguasa yang rakus, namun Pemuda harus menjadi pembela kepada rakyat. Jika tidak kita, siapa lagi yang dapat diletakkan harapan ini.

PEMUDA MENCORAK HARI MENDATANG

Hari ini, kita membentangkan dasar bagi pergerakan kita. Namun kita perlu ingat, ini bukan sekadar ucapan dan dasar yang harus ditinggal di atas kertas untuk ditatap oleh ahli-ahli dan barisan pimpinan Pemuda. Sebaliknya, dasar yang kita tetap hari ini adalah untuk mencorakkan impian masa depan kita semua. Ini dasar yang akan menyelamatkan negara daripada kerosakan dan keruntuhan.

Suara Pemuda yang saya bangkitkan hari ini, adalah suara yang mewakili suara jutaan Pemuda yang membesar di zaman merdeka. Mahathir sering menyatakan kita budak mentah yang tidak memahami erti perjuangan kemerdekaan.

Tapi Mahathir sebenarnya lupa, kita memang tidak dapat merasai jerih payah para pejuang kemerdekaan dahulu, benar kita tidak menyaksikan sendiri perjuangan menuntut kemerdekaan. Namun, saya ingin mengingatkan, kami generasi Pemuda di negara ini hari ini adalah anak-anak yang dididik dan diasuh untuk mengisi erti kemerdekaan. Kami dididik untuk memahami bahawa kemerdekaan negara sahaja tidak mencukupi, jiwa kita juga mesti merdeka, akal kita juga mesti merdeka, merdeka dari kepompong penguasa yang meremehkan perjuangan rakyat.

Saban hari, generasi muda yang semakin celik minda mereka, cuba dimomokkan oleh para penguasa zalim hari ini dengan ingatan supaya menghargai kemerdekaan negara. Generasi muda diminta untuk menuruti dan terus menyokong parti yang dahulunya berperanan dalam proses kemerdekaan negara.

Soalnya, apakah parti kini sudah menjadi agama kepada penguasa yang semakin hari semakin lupa kepada tuntutan dan kepentingan rakyat. Kerana menghargai kemerdekaanlah, kami para Pemuda hari ini bangkit menyuarakan pandangan kami.

Perjuangan Pemuda hari ini adalah perjuangan untuk menuntut kemerdekaan buat kali yang kedua. Benar kita telah merdeka daripada penjajah asing namun rakyat hari ini terus dibelenggu oleh pemimpin yang tidak lagi menghormati hak rakyat. Apa ertinya negara kita sudah merdeka tetapi rakyat tidak boleh bersuara. Apa ertinya sebuah kemerdekaan tetapi rakyat sering ditindas, apa ertinya sebuah kemerdekaan jika penguasa berlagak seperti tuan dan memunggah semua kekayaan negara sehingga menafikan hak rakyat.

Sebab itu, Pemuda hari ini bangkit, Kita ingin mencorakkan masa depan yang lebih gemilang. Kita mahu generasi akan datang hidup berteraskan keadilan, berpegang kepada prinsip menghormati hak sesama insan.

Pemuda hari ini bertekad untuk membentuk sistem pendidikan yang benar-benar dapat melahirkan insan yang punya harga diri. Insan yang tahu meletakkan sesuatu itu pada tempatnya. Insan yang tidak tunduk dan akur kepada kezaliman dan penyelewengan.

Kita juga mempunyai cita-cita untuk membentuk sistem perekonomian yang berlandaskan kesejahteraan sosial melalui kemakmuran yang berpegang kepada prinsip keadilan dan moral yang menjunjung tinggi harakat dan martabat bangsa. Sistem ekonomi yang kita ingin corakkan bukanlah sistem yang mengkayakan segelintir manusia. Bukanlah sistem yang memberi ruang kepada handai taulan sang penguasa menimbun kekayaan negara sekalipun terpaksa merampas hak rakyat, sekalipun terpaksa merompak hak rakyat dan sekalipun terpaksa membiarkan rakyat melarat.

Yang ingin kita bentuk ialah sistem ekonomi dan kewangan yang terdiri atas dasar sahsiah yang adil dan saksama – keadilan ekonomi sejagat.

Sistem yang kami impikan ialah perjalanan negara yang tidak punya kepentingan politik para penguasa yang rakus. Sistem yang kami mahukan, mestilah lari jauh daripada kebiasaan pemerintah sekarang iaitu membenarkan apa sahaja instrumen kerajaan diperalatkan oleh bukan sahaja penguasa besar tetapi juga oleh pemimpin parti pemerintah di peringkat kampung.

Pemuda hari ini juga akan berpegang kepada pendirian yang lebih jelas tentang kepimpinan. Kami akan menentang pemusatan kuasa kepada satu individu tertentu. Untuk itu, Pemuda sekali-kali tidak akan berundur atau tunduk kepada amalan diktator. Kami akan menentang rasuah terutama di kalangan kepimpinan utama kerana kami sedar rasuah adalah barah yang menjadi peruntuh sesebuah negara.

Kami akan menentang fitnah dan propaganda yang dilakukan untuk menipu rakyat demi menyelamatkan kepentingan individu-individu tertentu

Inilah azam kami. Inilah suara Pemuda hari ini, Suara anak-anak merdeka yang jiwanya besar, semangatnya kental dan daya juangnya cukup teruji.

Saudara-saudara perwakilan sekalian,

Kita yang akan menwarisi negara pada alaf mendatang perlu membuat pendirian hari ini. Kita kecewa dengan sistem politik negara. Kita sedar politik menjadi kotor bukan kerena prinsip politik itu tetapi kerana pemainnya. Pemain politik yang ada di tanah air hari ini adalah mereka yang kembiri.

Politikus pemerintah hari ini bagi kita tidak punya maruah perjuangan. Mereka sudah tidak punya prinsip perjuangan, mereka sudah hilang pertimbangan perjuangan malah mereka sudah hilang deria keinsanan. Jika benar mereka berjuang untuk agama, bangsa dan negara, apakah mereka masih sanggup menyokong kezaliman.

Di mana pendirian mereka apabila Islam dihina, Al-Quran diperlecehkan, Rasulullah dihina, ulama dipersendakan, rasuah berleleluasa, penyelewengan dibiarkan,salah guna kuasa menjadi amalan. Di mana pendirian mereka.

Apakah bagi mereka, politik peribadi mereka lebih penting dari agama, apakah bagi mereka politik peribadi mereka lebih mustahak daripada negara dan apakah bagi mereka politik peribadi mereka jauh lebih utama daripada bangsa.

Dengan sebab itu, bagi kita, ahli-ahli politik pemerintah hari ini sudah tidak relevan dengan tuntutan masa.

Ayuh kita bertekad hari ini yang kita akan menghapuskan budaya politik dan politik bankrap Barisan Nasional yang penuh dengan rasuah dan penyelewengan. Untuk itu Pemuda Keadilan bertekad dan mencadangkan agar, kelak apabila kita menerajui kepimpinan negara selepas pilihan raya umum yang akan datang, kita mesti membuat keputusan tegas.

Antaranya, kita mendesak supaya parti yang memerintah tidak akan menerima mana-mana pemimpin tertinggi UMNO untuk memasuki parti kita. Bagi kita pemimpin UMNO hendaklah kita tolak jauh-jauh daripada cuba untuk berdamping dengan parti kita setelah mereka hilang kuasa nanti. Tidak ada tempat untuk mereka yang hari ini menjadi pelacur politik demi untuk mengisi tembolok dan perut mereka sahaja.

Di samping itu, dalam tempoh 100 hari daripada pembentukan kerajaan baru, kita menuntut supaya segala kepincangan dan penyelewengan yang dilakukan oleh penguasa rakus serta para pengikutnya dihadapkan ke muka pengadilan.

Saudara-saudara sidang perwakilan dan para pemerhati sekalian,

Alaf baru perlu kepada pemimpin yang baru. Pemimpin yang punya ciri-ciri keinsanan dalam dirinya. Tawaduk dalam semua tindakan yang dibuat. Tahu batas antara hak Tuhan dan hak sebagai seorang insan.

Dengan itu Pemuda hari ini perlu mencorakkan budaya baru dalam hidup masyarakat. Budaya yang meletakkan prinsip mengatasi kepentingan diri.

Marilah kita berjanji, untuk menegakkan kebenaran dan keadilan, membela maruah bangsa dan melancarkan gerakan reformasi yang menyeluruh.

Dengan kesungguhan dan iltizam kita, kita ciptakan sebuah negara baru yang adil dan saksama. Di atas runtuhan sistem dan institusi akibat kerakusan penguasa hari ini, kita bina semula masa depan yang lebih gemilang.Di bawah lindungan rakyat, ayuh kita lancarkan gerakan menuntut kemerdekaan buat kali kedua.

Diatas runtuhan kota Melaka

Kita bangunkan Jiwa Merdeka

Bersatupadulah seluruh baka

Membela hak keadilan pesaka

Saudara-saudara, di atas pusara Barisan Nasional kita tiupkan semangat perwira. Di atas runtuhan politik Barisan Nasional marilah kita Membina Semula Malaysia.

Sekian, terima kasih dan selamat bersidang.
 
 

Wabillahi taufik wal hidayah, wassalamu’alaikum wrt. Wbh.