DARI FAIL RAMADHAN 1419

tulisan tangan DSAI

idul Fitri Muborak menjelang tiba. Teman-teman meminta saya mencatat pengalaman berpuasa di penjara sambil menyampaikan perutusan Eidul Fitri.  Secara bergurau saya bertanya, siapakah sebenarnya yang dipenjara? Fikiran dan jiwa saya tetap bebas meskipun dikelilingi tembok tinggi dan pagar besi berduri. Bagaimana halnya  dengan rakan di luar, tanpa kerawat dan pengawal? Apakah juga bebas atau tertekan lantaran ugutan atau terbelenggu fikiran dengan daayah palsu? Persoalan tersebut berkaitan dengan renungan bersama mengenai Ramadhan. 

Para ulama mengibaratkan Ramadhan sebagai tarbiyah ruhiyyah, pendidikan jiwa dan rohani agar tunduk kepada Allah S.W.T dan bebas dari runtunan nafsu. Ini akan memperkukuhkan proses pembersihan diri, tazkiyah an nafs  kerana asas tersebut akan menjamin landasan pembentukan akhlak peribadi, keluarga dan masyarakat. Tanpa asas tersebut, penyelewengan dan fasad  iaitu kerosakan termasuk dengan menodai faham keadilan dan pembangunan akan berlaku. 

Menginsafi prinsip tersebut, saya berusaha meng'imarah bulan mulia ini dengan bertarawikh, bertadarus dan bermunajat kepada Allah S.W.T. Saya menfaatkan naskah Al Quranul Karim dengan terjemahan bahasa Inggeris oleh Abdullah Yusuf Ali dan mentelaah semula catatan ringkas dari usrah terdahulu iaitu beberapa nukilan dari tafsir Ibnu Kathir, Al Qurtubi, Sayyid Qutb dan Maulana Maududi. Di samping itu, terdapat lima jilid Riyadhus Salihin. Akhir Syaaban yang lalu Azizah bekalkan beberapa kitab, du'a termasuk Pedoman Puasa oleh Hasbi as Shiddiqui bagi membantu saya mengulangkaji. Di bulan Ramadhan saya kurang membaca karya-karya lain yang sering saya dampingi seperti Shakespeare, atau karya falsafah, ekonomi lainnya. 
 
Menghadiri perbicaraan mahkamah dengan pelbagai kejanggalan dan drama, tilam dan pita suara, serta pameran fesyen juga menguji kesabaran berpuasa. Suasana akan lengang dan sepi di penjara kerana saya dikurung bersendirian atas arahan 'pihak atasan' di kawasan klinik (walaupun disini  disebut hospital). Jadi saya beriftar, tarawikh, sahur seorang diri. Pengalaman di kem tahanan Kemunting hampir dua puluh lima tahun yang lalu agak berbeda kerana diletakkan dalam satu kawasan bersama penghuni lainnya. Perbedaan ketara kali ini memang terasa. Lebih-lebih lagi kerana saya sering beriftar di merata masjid, menerima tamu di rumah dan merasa cukup senang melihat telatah anak-anak berbuka bersama di rumah. 
 
Di Kementerian Kewangan, kita mulakan tradisi penghayatan Ramadhan yang turut dihadiri Menteri dan Pegawai Kanan. Ini ditekankan kerana seringkali acara pengajian di Jabatan Kerajaan hanya dihadiri oleh Pegawai Rendah sahaja. Risalah-risalah saperti Why Fast? oleh Dr. Muhammad Hamidullah diedar. Di antara penceramah undangan ialah Dato Ishak Baharom, bekas Mufti Selangor dan Ustaz Dato Harun Din, kerana penyampaian yang menarik dan kekuatan kupasan ilmiah. Kehadiran mereka menimbulkan kontroversi kerana dipertikai oleh Dato Seri Dr. Mahathir. Saya jelaskan bahawa mereka diundang kerana daya tarikan serta kewibawaan mereka sebagai ulama. Malangnya, Dato Ishak dipecat juga akhirnya dan Dato Harun berulang kali diserang oleh beliau. Ianya berpunca dari kedegilannya menganggap Al-Quran boleh ditafsir berdasarkan pembacaan beberapa ayat terjemahan dalam bahasa Inggeris. Akhirnya, hudud dan aurat dipertikai dan peranan ulama diremehkan. Bahkan, baru-baru ini, ulama-ulama seperti Shaikh Muhammad al Ghazali, Dr. Yusuf al Qardawi dan Hassan al Banna turut dicela oleh media alat kerajaan. Semua ini tidak menghalang beberapa Ustaz UMNO menggelar atau membandingkan Dr. Mahathir dengan Khalifah Ar-Rashidin dan Amirul Mukminin. 

Ramadhan juga menuntut kita meningkat kesabaran dalam menghadapi ujian dan dugaan. Saya bersyukur kehadrat Allah SWT kerana berkat du'a ramai saya masih tabah. Memang saya tidak menduga penderaan, usaha menghina dan kecaman seteruk ini. Saya dipecat, diusir keluar rumah dengan segera, difitnah dan diaibkan saban hari oleh media alat kerajaan. Pintu rumah dipecah dalam serbuan polis, rumah dan pejabat digeledah. Setelah ditutup mata dan digari, saya dibelasah sehingga bengkak, lebam dan berdarah. Saya ditelanjangi, disoalsiasat dan disuntik darah untuk ujian HIV, diletak dalam bilik kurungan yang sama dengan anggota militan komunis dan kemudiannya di kurungan penjenayah. Sekarang saya masih dipenjara! Kenyataan Peguam Negara setelah hampir empat bulan kurang meyakinkan.  Kini Ketua Polis Negara telah meletak jawatan.  Bagaimana pula dengan Menteri Dalam Negeri yang sama-sama bertanggungjawab pada 20 September 1998 dan dalam kes-kes penderaan dan penangkapan rakyat. 

Saya akui kesilapan mengandaikan bahawa penderaan ke tahap ini mustahil berlaku kepada saya, dan tidak mungkin Dr. Mahathir, KPN dan lain-lain sanggup bertindak sezalim ini. Namun, semuanya telah berlaku. Saya tetap bersyukur kerana lebih dewasa, tabah dan insaf. Dengan semangat Ramadhan, saya ulangi ikrar untuk terus tingkatkan perjuangan menegak keadilan, membanteras kezaliman, membela yang lemah tanpa mengira darjat dan keturunan. Apa yang harus dirintihkan atau dikesalkan? Jika saya mahu pilih jalan mudah dan hampir menjamin kedudukan sebagai bakal Perdana Menteri, saya ikut, patuh dan berkompromi sahaja. Andaikata saya turut sahaja arahan membantu syarikat anak-anak dan kroni sebanyak berbilion ringgit, diamkan sahaja mengenai wang satu bilion ringgit yang dilarikan ke Switzerland atau satu bilion wang UMNO yang lesap, membisu terhadap kenyataan menghina Islam dan ulamanya, tidak membicarakan soal nahdah (renaissance) dengan demokrasi  dan masyarakat madani, batalkan rancangan membentang Akta Rasuah, ketepikan kepentingan rakyat miskin atau program rumah kos rendah; biarkan keluhuran undang-undang dan kewibawaan Badan Kehakiman dinodai, turut jayakan tanpa soal semua projek mega dan megah termasuk mercutanda membazir dan mahligai peribadi - maka kita tidak akan menyaksikan kemelut sebegini akibat konspirasi politik peringkat tertinggi! Bahkan, dalam rundingan terakhir, saya dipelawa berhenti secara terhormat dengan jaminan habuan dan hadiah besar yang boleh dirundingkan dengan Tun Daim. 

Saya memilih untuk terus berjuang dan akan hadapi segala muslihat dan pakatan atau perancangan mereka. Kesabaran Ramadhan yang disemarakkan bererti tidak terpedaya dengan pujukan atau ugutan. Kita akan berjuang menegakkan kebenaran dan keadilan! Apakan erti hikmah dan pengajaran Ramadhan sekiranya kita memilih untuk tunduk kepada kebendaan dan kepalsuan. Sayugia diingat, jalan perjuangan penuh dengan cabaran dan ranjau. 

Ramadhan sebagai wahana memupuk kekuatan iman dan keutuhan peribadi supaya bebas dari runtunan nafsu. Para pejuang kemerdekaan melancarkan serangan terhadap penjajah dengan ruhul jihad mengingatkan iktibar Perang Badr. Penentangan terhadap penjajahan bukanlah semata-mata kerana mereka 'orang asing' tetapi justeru kerana penindasan, kezaliman dan perompakan khazanah negara yang dipunggah pulang ke negara mereka. Di negara kita, tokoh-tokoh seperti Dato Onn Jaafar, Dr. Burhanuddin al Helmy, Ahmad Boestamam menuntut kemerdekaan dari Inggeris bagi menjamin keadilan pemerintahan anak negeri. Mereka menyuarakan tuntutan rakyat dan menempik sapertimana yang diungkapkan oleh Dr. Burhanuddin: "diatas robohan Kota Melaka, kita bangunkan jiwa merdeka!" Mereka tidak sekali-kali bermaksud untuk menggantikan penjajahan Inggeris dengan penjajahan dalaman baru. Beberapa tahun lalu, saya menulis: "Adalah malang sekali jika kemerdekaan yang diperolehi dengan pesih, dan sebagai wasilah mencapai keadilan, hanya akan berakhir dengan penggantian penindasan kuasa luar dengan kuasa dalaman." (lihat Gelombang Kebangkitan Asia, ms. 63-64). 

Keganasan dan kezaliman yang dilakukan oleh mana-mana kuasa jua pun harus ditentang keras sepertimana pendirian kita terhadap serangan Amerika Syarikat terhadap Iraq baru-baru ini. (Malangnya, bagi memenuhi muslihat politik sempit mereka, kenyataan tegas Azizah dan ADIL mengutuk serangan tersebut telah tidak diberi liputan oleh media alat kerajaan). 

Sekiranya, kesedaran menegak yang hak dan menentang kebatilan adalah pencernaan dari dhamir dan keyakinan dari lanjutan dari tarbiyah ruhiyyah tadi, maka kezaliman, rasuah, keganasan di mana sahaja jua harus ditolak. Waspadalah terhadap muslihat menjadikan seruan patriotisme dan semangat kebangsaan sebagai daleh menutup pekong rasuah dan keganasan dalam negara. Terlalu banyak contoh pemimpin negara yang rakus dan tamak mengelak pemerhatian rakyat terhadap jenayah mereka dengan menghebah bahaya ancaman asing untuk menakut-nakutkan rakyat. Manakala rakyat terpinga-pinga, riuh dengan ancaman luar, mereka memunggah khazanah dalaman untuk sanak saudara dan kroni. Apabila disedari, keadaan mungkin terlambat. Betapa ramai diktator yang diusir atau digulingkan yang berjaya mengumpulkan berbilion ringgit wang rakyat dan negara! 

Rakyat dan negara, terutamanya pasukan pertahanan harus sentiasa bersiap-siaga menghadapi ancaman musuh luar. Akan tetapi  jangan pula kita dibuai, lalai dengan musuh dalam yang sebenar. Sheikh Muhammad al Ghazali menyebut isti'mar ruhi wa fikri:  penjajahan jiwa dan pemikiran termasuk kalangan yang secara rambang memilih untuk mempertahankan semua undang-undang penjajah termasuk yang kejam yang digunakan untuk menindas rakyat; menghina agama dan budaya sendiri. Malek Ben Nabi menambah hujah dengan mengistilahkannya sebagai colonisibilite: bahaya orang yang merelakan diri dijajah secara langsung atau oleh sistemnya kerana terperangkap dalam kerangka tempurung penjajah. 

Ramadhan juga tentunya bulan untuk kita banyak beristighfar, memohon keampunan dari Allah SWT dan bermuhasabah, melihat ke dalam diri bagi memperbetul dan memperbaiki kelemahan. Ya, seringkali dengan kesibukan, ibadah dikerjakan secara terburu-buru. 

Adakalanya pula pertimbangan 'kestabilan politik', 'kepentingan parti' menyebabkan kita terpaksa membisu terhadap banyak penyelewengan. Bantahan secara sopan mampu dibuat secara tertutup sahaja. Saya sangsi, cara lembut pun mungkin tidak berupaya kalangan pimpinan sekarang melakukan teguran terhadap pemimpin utama mereka. Istighfar dan muhasabah hanya mungkin berlaku sekiranya ada sikap tawaddu, merendah diri untuk mengakui kesilapan dan membuat pembetulan. Di sebaliknya, jika kita terlalu angkuh menganggap bahawa kita betul dan sempurna belaka sementara semua negara dan orang lainnya salah maka akan kekallah kita dengan keangkuhan dan kejahilan. 

Mudah-mudahan dengan penghayatan dan tazkirah Ramadhan, iltizam kita lebih menebal untuk melakukan perubahan: diri dan umat melalui tazkiyah dan islah (reformasi). 

Sambutlah Eidul Fitri Mubarak secara sederhana dengan penuh keinsafan: takbir, tasbih dan tahmid. Kekalkan budaya yang serasi dengan semangat perayaan keagamaan yang suci, termasuk bersadaqah, bersilaturrahim. Kita sesungguhnya merayakan kemenangan perjuangan melalui proses latihan tarbiyyah ruhiyyah Ramadhan. 

tulisan tangan dan tandatangan DSAI